Talian Hotline Pantau Tanah Runtuh | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Talian Hotline Pantau Tanah Runtuh

SHAH ALAM, 12 DIS : Berikutan hujan lebat yang turun hampir setiap hari, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menyediakan talian hotline bagi memudahkan orang ramai mengawasi dan melaporkan sebarang tanda-tanda awal kemungkinan berlakunya tanah runtuh di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, talian bebas tol 1-800-88-2824 yang akan beroperasi bermula Isnin depan memberi kemudahan kepada orang ramai untuk melaporkan sebarang kejadian atau maklumat mengenai pergerakan tanah di kawasan mereka.


Menurutnya, kesemua aduan yang diterima akan dimaklumkan dengan segera kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak berkuasa lain yang akan menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Orang ramai boleh melaporkan jika mendapati air keluar dari permukaan tanah atau cerun; pagar; tembok penahan serta pokok semakin condong atau tumbang; rekahan semakin membesar di permukaan cerun atau permukaan turapan seperti jalan dan laluan kenderaan; paip air bawah tanah bocor dan dinding atau tangga menjadi semakin renggang,” katanya.

Demikian kata Abdul Khalid kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk setempat terutama yang tinggal di kawasan berisiko tinggi seperti di cerun dan bukit supaya mengadakan sistem amaran awal di kalangan komuniti termasuk pelan perpindahan sekiranya berlaku tanah runtuh.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap keselamatan rakyat dan menasihatkan rakyat Selangor supaya lebih peka dengan sebarang perubahan di sekeliling kerana persediaan awal boleh menyelamatkan nyawa dan harta,” katanya lagi.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION