Selangorkini
SELANGOR

118 Kakitangan MPSJ Terima Penghargaan

118 Kakitangan MPSJ Terima Penghargaan 01

SUBANG JAYA 19 JAN: Bagi menghargai sumbangan, kerja keras dan komitmen kakitangannya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2012 yang bertempat di Stadium MPSJ baru-baru ini.

Seramai 118 kakitangan MPSJ daripada pelbagai pangkat dan jabatan menerima penghargaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi.

Majlis pada kali ini merupakan anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK) MPSJ dan turut dihadiri ahli majlis MPSJ dan seluruh warga kerjanya.

Seorang penerima anugerah tersebut, Pengarah Kejuruteraan MPSJ, Ismail Shafie berkata, pengiktirafan yang diberikan kepadanya akan dijadikan iltizam dan pembakar semangat supaya dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatannya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MPSJ dan dengan adanya majlis anugerah ini diharap warga kerja MPSJ yang lain dapat bersama-sama bersaing dan menunjukkan prestasi yang berkualiti pada tahun ini,” katanya yang memulakan perkhidmatan di MPSJ sejak November 2009 lalu.

Dalam majlis yang sama, MPSJ turut meraikan enam orang kakitangannya daripada pelbagai jabatan yang bersara pada tahun ini.

118 Kakitangan MPSJ Terima Penghargaan 02Seorang pekerja awam yang bakal bersara pada bulan Februari ini, Kum Kwee Seng, 59, perasaan sedih bercampur gembira kerana bakal mengakhiri perkhidmatannya di MPSJ.

Katanya, beliau melihat banyak perubahan yang dilakukan sepanjang 36 tahun perkhidmatannya oleh MPSJ yang antaranya berjaya menjadikan Subang Jaya sebagai salah sebuah kawasan yang meningkat maju di Selangor.

“Saya pernah bekerja sebagai pencuci sebelum diambil kerja oleh MPSJ dan saya sangat berterima kasih kepada mereka,” katanya yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali sebelum ini.

Sementara itu, Asmawi di dalam ucapan perasmiannya berkata, pengiktirafan ini merupakan langkah MPSJ membentuk budaya dan persekitaran kerja yang mengutamakan prestasi dan kecermelangan.

Katanya, selain daripada anugerah ini, pihak pengurusan MPSJ juga menyediakan banyak insentif kepada warga kerjanya.

“Sebagai contoh, pegawai dan kakitangan kita juga turut dicalonkan dan menerima anugerah dan pengiktirafan di peringkat negeri dan juga negara,” katanya.


Pengarang :