Ambil Alih Perkhidmatan Air Dalam 14 Hari | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Zharif Zulkiffeli

Ambil Alih Perkhidmatan Air Dalam 14 Hari

ISU AIR SELANGOR BARU

SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Negeri akan ambil alih perkhidmatan air dalam tempoh 14 hari sekaligus bakal menamatkan krisis pengurusan bekalan air di Lembah Klang dan Selangor yang telah berlarutan lebih lima tahun.

Usaha ini susulan daripada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru bahawa Kerajaan Persekutuan tiada masalah dengan usaha Selangor untuk menstruktur-semula industri tersebut.


Makluman pengambil alihan pengurusan air daripada syarikat konsesi dibuat melalui surat yang ditulis Kerajaan Selangor kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui.

Selepas 14 hari, Kerjaan Negeri akan memulakan rundingan pembayaran kepada empat syarikat konsensi untuk ambil alih pengurusan segala aset industri air yang melibatkan aspek bekalan, rawatan hingga ke pengagihan.

Keputusan ini diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco baru-baru ini.

Menurut Abdul Khalid, tempoh 14 hari bermula pada 4 Februari.

“Kita berpegang kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabak Bernam baru-baru ini.

?(Beliau) menyatakan Kerajaan Pusat tiada halangan untuk kerajaan Selangor mengambilalih perkhidmatan air.

“Justeru dalam surat tersebut kita telah maklumkan bahawa pengambil alihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberikan sebarang maklum balas,” katanya.

Muhyiddin dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Persekutuan sejak dulu dan kini mahukan soal perkhidmatan air mesti diselesaikan Kerajaan Negeri.

Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Sementara pengagihan air terawat pula dikendalikan konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Abdul Khalid berkata tawaran harga kepada empat syarikat berkenaan akan ditentukan melalui proses timbang tara antarabangsa.

Kerajaan Negeri juga akan akur dengan keputusan timbang tara antarabangsa sekirannya diputuskan bahawa Kerajaan Negeri perlu membayar lebih daripada tawaran asal.

Pada 31 Januari 2010, Kerajaan Negeri menawarkan nilai pampasan sebanyak RM 9.27 bilion namun jumlah tersebut ditolak kesemua syarikat tersebut.

“Dalam surat yang ditulis saya menyatakan, saya akan membuat tawaran yang akan diterima (konsesi).

“Jika berlaku perbezaan harga Kerajaan Persekutuan mestilah bersetuju supaya perkara ini dibawa ke peringkat timbang tara antarabangsa,” ujarnya lagi.

Usaha mengambil alih perkhidmatan air daripada empat syarikat tersebut adalah sebahagian daripada objektif Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menstruktur semula industri air.

Ini bagi memastikan bekalan air terawat kepada lima juta penduduk Selangor dapat diedarkan dengan cekap dan pada harga yang berpatutan.

Kerajaan Negeri berpendirian bahawa pengurusan air di bawah empat syarikat tersebut, terutamanya Syabas, adalah tidak memuaskan.

Ini berikutan rancangan awal Syabas untuk menaikkan harga air sebanyak 37 peratus meskipun ia gagal untuk menurunkan kadar air tidak berhasil, iaitu air yang hilang akibat dicuri dan paip bocor, yang sekarang berada pada tahap 30 peratus.

Syabas juga gagal menyelenggara pengedaran air dengan baik seperti yang dilihat pada krisis bekalan air di Ampang, Cheras dan Gombak awal tahun ini yang mengakibatkan 500,000 pengguna tidak dapat bekalan air.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION