Selangorkini
NASIONAL

Beli Saham FGVH: KWSP dan KWAP Didakwa Alami Kerugian RM75 Juta

Wong Chen

PETALING JAYA, 11 JAN : Dua dana pencen negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) didakwa mengalami kerugian atas kertas dengan anggaran nilai RM75 juta akibat membeli saham Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Ini kerana dakwa Pengerusi Biro Pelaburan dan Perladangan PKR, Wong Chen, kedua-dua dana itu didapati terus membeli saham FGVH dari pasaran, walaupun penganalisis mendapati harga saham itu jatuh mendadak seawal 9 Ogos 2012.

Beliau berkata, tingkah laku pembelian saham oleh KWSP dan KWAP adalah amat bertentangan, malah tidak sepatutnya diamalkan oleh sesebuah dana pencen.

“Pada keseluruhannya, pembelian mereka dalam pasaran terbuka dari 29 Jun 2012 hingga 4 Januari 2013 telah menelan anggaran belanja sebanyak RM455 juta (KWSP) dan RM305 juta (KWAP).

“PKR percaya bahawa penyumbang KWSP dan penjawat awam mempunyai hak untuk mengetahui sama ada pembelian saham FGVH (yang sebahagian besar bertentangan dengan pandangan penganalisis dan pasaran) bermotifkan politik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Menurutnya, harga purata saham penganalisis bagi FGVH adalah RM4.19 dan jika ia jatuh ke tahap itu, maka KWSP dan KWAP masing-masing terus mengamali kerugian kertas bernilai RM146 juta dan RM129 juta.

“Dalam kes senario paling teruk, jika harga turun kepada sasaran Alliance Reserach iaitu pada harga RM3.53 (kedua terendah antara 12 analisis terkini mengenai saham FGVH), KWSP dan KWAP akan menimpa anggaran kerugian kertas RM327 juta dan RM295 juta,” katanya lagi.


Pengarang :