Selangorkini
SELANGOR

Dasar 6 + 6 Pastikan Kutipan Sampah Ikut Jadual

Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar MBPJ 01

PETALING JAYA, 16 JAN: Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kutipan sampah di Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) melaksanakan dasar kontrak ‘enam campur enam’ terhadap semua kontraktor perkhidmatan tersebut.

Dalam dasar yang berkuatkuasa serta merta itu, setiap syarikat kontraktor hanya diberikan kontrak selama enam bulan sahaja dan hanya disambung semula sekiranya mereka berjaya menunjukkan prestasi baik.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata tindakan tersebut diambil bagi menjamin kontraktor menepati jadual dan piawaian perkhidmatan kutipan sampah.

“Polisi ini sudah berjalan, bila ada kontraktor lama tamat tempoh kontrak, kita kaji prestasi mereka dan kalau baik, kita beri kontrak enam bulan sahaja.

“Tiada lagi terus bagi kontrak sampai dua tahun macam sekarang,” ujar Alinah.

Beliau berkata demikian selepas membuat pengakuan penerimaan dan menandatangani penerimaan jawatan sebagai Ahli Majlis MBPJ di Dewan Bunga Tanjung, Ibu Pejabat MBPJ, di sini pagi tadi.

Beliau membuat pengakuan dan menandatangani perakuan tersebut dihadapan ahli-ahli majlis dan ketua-ketua jabatan MBPJ yang hadir.

Beliau juga memberitahu MBPJ akan mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi menangani dengan lebih cekap pusat perjudian haram.

“Tindakan memang diambil, tetapi disebabkan ikut undang-undang kita kena pulangkan semula rampasan dan bila dipulangkan, mereka buka semula, jadi ia kurang berkesan.

“Jadi, kami akan kaji samada undang-undang tersebut merupakan Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau undang-undang Kerajaan Tempatan.

“Kalau Undang-undang kecil kita boleh pinda, tetapi sekiranya undang-undang Kerajaan Tempatan, ia adalah kuasa Parlimen, Parlimen perlu mengambil tindakan memindanya,” katanya lagi.

Selain itu, Alinah juga memaklumkan beliau akan memantau semua aduan kepada MBPJ bagi memastikan aduan-aduan tersebut diambil perhatian dan dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar MBPJ 02 Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar MBPJ 03


Pengarang :