Selangorkini
SELANGOR

Datuk Bandar PJ Baru Amalkan Dasar Pintu Terbuka

MBPJ Alinah Serah Tugas 02

PETALING JAYA 2 Dis : Warga Petaling Jaya akan dapat menengahkan aduan mereka secara terus kepada Datuk Bandar baru Datin Paduka Alinah Ahmad, yang mahu mengamalkan dasar pintu terbuka atau ?open door policy?.

Melalui dasar tersebut, Alinah antara lain akan memberi ruang selama sejam pada setiap hari bekerja untuk warga Petaling Jaya bertemu dan memanjangkan aduan kepadanya sendiri secara empat mata.

“Semua orang boleh berjumpa saya pada setiap hari dengan mengadakan temujanji terlebih dahulu.

“Ini juga merupakan salah satu cara untuk menilai samada perkhidmatan atau apa yang MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) lakukan menepati ‘expectation’ warga Petaling Jaya,” jelas beliau yang memulakan tugas hari ini.

Beliau juga akan menekankan dasar menyelesaikan aduan orang ramai dalam dua minggu.

“Saya sendiri akan mengadakan mesyuarat ‘follow up’ setiap dua minggu sekali, seterusnya memastikan agar masalah-masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin selewat-lewatnya dua minggu,” tegas Datuk Bandar Wanita Pertama Malaysia ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Upacara Penyerahan Nota Serahan Tugas Datuk Bandar Petaling Jaya pagi tadi.

Selain itu, Alinah berkata beliau sendiri akan turun padang memantau warga kerjanya untuk memastikan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan cekap dan efisien.

“Saya tidak akan memberitahu sesiapa. Sebaliknya saya lebih suka mengadakan ‘suprise visit’ kerana dengan itu baru kita tahu samada mereka buat kerja atau tidak,” jelasnya lagi.

Beliau juga akan memberi perhatian kepada pengurusan aset MBPJ selain perancangan untuk menjadikan Petaling Jaya sebuah bandaraya bertaraf dunia.

Pagi tadi, Alinah menandatangani Nota Serahan Tugas Datuk Bandar Petaling Jaya dengan disaksikan Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib dan di hadapan ahli-ahli majlis MBPJ di Dewan Bunga Tanjung Ibu Pejabat MBPJ,

Alinah sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) selain pernah bertugas sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Kuala Langat dan Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan) Setiausaha Kerajaan Negeri.


Pengarang :