NASIONAL

Disebalik Edaran Risalah Fitnah, Suee Lim Terus Pertahan DUN Sekinchan

2012-12-23 18.12.29-1

SHAH ALAM 1 JAN : Adun Sekinchan, Ng Suee Lim menyatakan komitmen untuk terus mempertahankan kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13) ini yang sudah dimenanginya selama dua penggal sejak 2004.

Ujar beliau, sebaran risalah dan fitnah yang disebar mendakwa Suee Lim akan ‘lari’ ke DUN lain adalah strategi terdesak pihak BN yang cuba mengaburi mata rakyat dengan membohongi masyarakat dengan fakta yang tidak berasas.

Pagi ini, masyarakat di Kawasan Perumahan Taman Ria Sekinchan dikejutkan dengan taburan risalah lapan muka surat yang bertajuk ‘Dosa-dosa Ng Swee Lim’ bagi memburukkan imej Adun Sekinchan itu.

Risalah berbahasa Melayu itu diletakkan di setiap rumah yang dipercayai disebarkan pada waktu malam tahun baru 2013 yang juga dipercayai disebarkan di kawasan lain di DUN Sekinchan.

Ng Suee Lim di fitnah

Ia mengutarakan sembilan isu yang menyerang keperibadian Suee Lim dengan cuba menyalahkan pengundi kerana memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat dalam PRU-12 lepas.

“Ia adalah provokasi BN untuk mengelirukan rakyat.

“Dalam tahun baru ini mereka (BN) hilang pedoman di DUN Sekinchan dan Parlimen Sungai Besar serta seluruh Sabak Bernam,” kata Suee Lim ketika dihubungi TVSelangor.

Ujar beliau, kekuatan Pakatan Rakyat (PR) semakin terserlah di Parlimen Sungai Besar, Parlimen Sabak Bernam dan juga Parlimen Tanjong Karang.

“Rakyat semakin hari mempercayai Pakatan Rakyat dan merasai kebahagiaan kepada PR dengan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor,” katanya.

Katanya, jika dipilih sekali lagi, beliau akan terus melakukan kesinambungan kerja dan berkhidmat kepada rakyat.

Sementara itu, Suee Lim ketika menjawab tuduhan dalam risalah fitnah berkenaan isu Billboard tertera wajah Suee Lim itu adalah disebabkan BN cemburu dengan kejayaan beliau mempromosikan Sekinchan sebagai kawasan pelancongan baru di Selangor.

“Saya hanya mempromosikan DUN Sekinchan sebagai satu destinasi eko-pelancongan.

“Dan rakyat di Sekinchan sudah mengetahui pelancongan di sini telah berkembang dengan pesat dengan ramai pelancong daripada luar negeri datang ke Sekinchan untuk melawat keunikannya seperti bendang padi, perikanan dan industri kecil sederhana.

“Potensi DUN Sekinchan dicungkilkan dengan mengadakan billboard yang besar dan akhirnya kejayaan ini mereka (BN) iri hati dengan kejayaan ini dan mereka menyerang saya dengan isu billboard ini,” ujarnya.

2013-01-01 08.32.03


Pengarang :