Selangorkini
SELANGOR

DUN Cempaka Buka Bilik Gerakan, Sedia Pam Air

iskandar

SHAH ALAM, 9 JAN : Ekoran kejadian bekalan air terputus di sekitar Ampang dan Cheras sejak 10 hari lalu, Pusat Khidmat DUN Cempaka mengambil inisiatif membuka sebuah bilik gerakan di kawasan itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad berkata, bilik gerakan bertempat di Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya itu berfungsi membantu penduduk setempat yang kini berhadapan gangguan bekalan air untuk membuat laporan.

Menurutnya, petugas di bilik gerakan itu juga akan berhubungan dengan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi memastikan kawasan yang terlibat mendapat bekalan air secukupnya sama ada melalui lori tangki mahupun lori statik.

“Dalam satu pertemuan yang diadakan bersama wakil Syabas pada 4 Januari lepas, saya menegaskan bahawa syarikat konsesi itu mesti membekalkan air yang secukupnya ke kawasan-kawasan yang terlibat. Mereka mesti memastikan tangki-tangki statik sentiasa diisi untuk kegunaan penduduk.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga mempunyai lori-lori tangki air tetapi jumlahnya amat terhad. Pusat Khidmat saya juga akan mendapatkan 10 pam air untuk membantu penduduk di pangsapuri. Mereka yang inginkan khidmat pam itu bolehlah menghubungi bilik gerakan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Iskandar, petugas dari Unit Amal Pandan juga dikerah membantu warga emas dan mereka yang tidak berkemampuan mengangkut air.

Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan bolehlah menghubungi talian 010-2637662(Zahriezan), 0197598622(Suhaimi) dan 0132469027(Hafiz).

Kira-kira 500,000 penduduk di Gombak, Ampang dan Cheras berhadapan gangguan bekalan air selama lebih 10 hari apabila rumah pam Wangsa Maju gagal berfungsi akibat tidak diselenggara Syabas.


Pengarang :