Selangorkini
SELANGOR

Gangguan Bekalan Air : Syabas Gagal Baiki Pam Rosak Lebih Setahun

syabas-AIR1

SHAH ALAM 3 Jan : Tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor  (Syabas) menunding jari kepada Kerajaan Selangor bagi menutup kegagalan syarikat itu membekalkan air kepada pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur amat tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, SYABAS patut menyelenggara semua aset pengagihan air seperti yang termaktub dalam Perjanjian Konsesi yang ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Selangor dan syarikat itu.

“Sejak 1 Januari 2005, semua aset dan fasiliti pengagihan air milik Kerajaan Selangor diserahkan untuk dikendalikan sepenuhnya oleh SYABAS termasuklan Rumah Pam Wangsa Maju.

?Oleh itu, tiada sebab mengapa SYABAS boleh menuding jari kepada kerajaan negeri,? kata Abdul Khalid di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar.

Terdapat lima unit pam Rumah Pam Wangsa Maju dan siasatan mendapati bahawa gangguan bekalan air yang melanda Gombak dan Kuala Lumpur berpunca kegagalan kelima-lima pam tersebut.

Siasatan tersebut dilakukan Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor pada 2 Januari lalu.

“Hasil lawatan ke Rumah Pam Wangsa Waju oleh jawatan (itu) pada 2 Januari dan melalui pemerhatian dari buku log operasi pam untuk tahun 2012, didapati bahawa pam nombor dua telah rosak melebihi setahun dan tidak pernah  dibaiki,? kata Abdul Khalid.

Menteri Besar berkata, hasil siasatan jawatankuasa itu telah membuat kesimpulan bahawa Syabas:

* gagal menyelenggara aset dan fasiliti bekalan air yang terletak dibawahnya bermula dari 1 Januari 2005 seperti di dalam perjanjian konsesi.

* gagal mengenal pasti kerosakan pam-pam yang terdapat di Rumah Pam berkenaan dan kegagalan ini menyebabkan kerosakan lebih besar berlaku yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna

* gagal mengambil tindakan segera dalam membaik pulih kerosakan pam-pam tersebut

* gagal memaklumkan kejadian sebenar kerosakan yang berlaku kepada Kerajaan Selangor.

Sebaliknya, Abdul Khalid berkata, Syabas menggunakan isu ketidakcukupan air untuk menimbulkan suasana panik di kalangan pengguna.

?Gangguan bekalan air kali ini adalah kemuncak kepada siri-siri kegagalan SYABAS memenuhi tanggungjawab kepada pengguna seperti yang termaktud dalam Perjanjian Konsesi.

?Justeru,  Kerajaan Selangor mendesak kerajaan Persekutuan membenarkan penstrukturan semula  industri air diteruskan mengikut Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA),? Abdul Khalid berkata.


Pengarang :