NASIONAL SELANGOR

MB : Najib Cuba Bela Kroni Dalam Masalah Air Selangor

11_Mb Ceramah Di Pekan Saratok
BATANG LUPAR, 14 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa cuba melindungi kroninya dengan terus menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor berhubung gangguan bekalan air di Ampang, Cheras dan Gombak sejak dua minggu lalu.

Mengulas perkara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk membantu membekalkan air terawat kepada rakyat di Selangor.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga tidak pernah melengahkan permohonan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) membina rumah pam baru bagi menyalurkan air kepada penduduk di ketiga-tiga kawasan tersebut.

“Apa yang dikatakan Najib itu tiada kena mengena dengan gangguan bekalan air yang berlaku sekarang. Najib boleh jadi kurang faham tentang keadaan ini kerana Najib ingin membantu kroninya.

“Tan Sri Rozali Ismail ialah kroni Najib. Jadi bermakna, kalau kroninya buat salah, Najib tidak akan kata dia salah.

?Najib sanggup menyalahkan rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor demi mempertahankan kroni,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja di Sarawak petang tadi.

Gangguan bekalan air itu melibatkan 500,000 penduduk di tiga kawasan itu yang terpaksa mendapatkan air untuk tugas harian daripada lori air Syabas.

Syabas berkata masalah gangguan itu mungkin akan berlarutan sehingga tahun baru Cina.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mencabar Najib untuk melihat sendiri bekalan air di Selangor dengan memanggil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bertanggungjawab mengelola perkhidmatan air.

Abdul Khalid berkata, Najib juga gagal menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri secara profesional apabila masih menuding jari kepada Kerajaan Negeri.

“Rakyat tidak mahu lagi kroni, rakyat tidak mahu rasuah, rakyat tidak mahu Umno-BN terus membodohkan rakyat,” katanya lagi.

Pada Sabtu lalu, Najib mendakwa masalah bekalan air di Selangor semakin meruncing ekoran keengganan Kerajaan Negeri memberi kelulusan untuk membina stesen pam tambahan dan tidak memberi ‘development order’ kepada Kerajaan Pusat.

Sebelum ini, Najib mendakwa Kerajaan Selangor suka menunding jadi dan menyalahkan pihak lain berhubung krisis air yang berlaku di Selangor.


Pengarang :