Selangorkini
SELANGOR

Ng Suee Lim Minta Polis Siasat Risalah Fitnah

risalah 2

SHAH ALAM 17 JAN : Pakatan Rakyat (PR) Selangor mahu polis menyiasat risalah berunsurkan fitnah terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang kini diedarkan kepada ketua-ketua kampung tradisi.

Timbalan Setiausaha DAP negeri, Ng Suee Lim berkata sebaran risalah fitnah yang disebar itu memaparkan berita memburukkan pentadbiran Kerajaan Negeri dengan fakta yang tidak berasas.

Katanya, risalah itu diperolehi melalui kiriman pos kepada tujuh ketua kampung di DUN Sekinchan dan dua ahli majlis DAP dua minggu lalu.

Risalah berbahasa Melayu bersiri itu, mengandungi 10 muka surat, hanya memaparkan nama wartawan dan tidak memaparkan sidang pengarang alamat pencetak dan juga penerbit.

Kandungan risalah itu memaparkan berita mengenai isu-isu semasa yang dimainkan media Pro BN antaranya krisis air.

“Setakat ini, kami dapati ia sudah dikeluarkan sebanyak 21 siri. Kami percaya risalah ini diterbitkan oleh Umno-BN. Tujuannya sama dengan ‘Selangor Terkini’ yang diterbitkan mereka dua tahun lalu.

“Kami kesal dengan apa yang dilakukan pihak mereka. Jika mahu menyerang Pakatan Rakyat biarlah secara sihat, berpolitik secara tertib. Tindakan mereka ini seperti ‘baling batu sembunyi tangan’,” katanya yang juga Adun Sekinchan dalam sidang media di Bangunan Annex, SUK, di sini.

Hadir sama Ketua Penerangan PKR negeri, Shuhaimi Shafei dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Sementara itu, Shuhaimi berkata tindakan yang dilakukan Umno-BN seolah-olah kehilangan modal untuk menyerang Kerajaan Negeri.

“Jika begini cara demokrasi yang diamalkan Umno-BN, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak layak untuk meminta peluang rakyat untuk mentadbir kembali negeri ini.

“Permintaan Najib adalah permintaan kelakar, tidak mungkin rakyat akan memberi peluang itu kerana sudah 11 kali diberi peluang tetapi Umno-BN yang menghancurkan sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat oleh Ketua-ketua kampung tradisi DUN Sekinchan semalam di Balai Polis Sekinchan pada jam 3.30 petang.

risalah 1


Pengarang :