Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Penggunaan Kalimah Allah Dalam Lagu Negeri Tidak Perlu Dijadikan Isu

Grafik-Khalimah Allah

SHAH ALAM, 9 JAN : Kerajaan Selangor mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan penggunaan kalimah Allah dalam lagu Selangor sebagai suatu isu besar kerana tiada unsur penghinaan dan penyalahgunaan kalimah tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penggunaan kalimah Allah hanya menjadi suatu kesalahan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan dan penyalahgunaan seperti menghasut umat Islam untuk bertukar agama.

Abdul Khalid berkata, ia sejajar dengan fatwa di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003(Pindaan 2010).

?Wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan kalimah tersebut, ia perlu disekat mengikut undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

?Enakmen ini perlu dibaca dan difahami secara menyeluruh untuk mengelak sebarang kekeliruan,? katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, hari ini.

Abdul Khalid turut menambah, DYMM Sultan Selangor adalah Ketua Agama Islam bagi Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri sentiasa menghormati kuasa tersebut.

Semalam, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam dan orang bukan Islam diharamkan untuk menggunakannya.

Manakala pimpinan Pakatan Rakyat menerusi presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pandangan bahawa Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ‘Allah’.


Pengarang :