SELANGOR

PKNS Akan Teruskan Visi Membangunkan Selangor Pada 2013

PKNS

SHAH ALAM 2 JAN : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis dalam usaha mempertingkatkan ekonomi rakyat Selangor khususnya golongan Bumiputera tahun ini, meskipun berhadapan dengan suasana ekonomi negara dan global yang masih suram.

Menurut Pengurus Besar PKNS, Othman Omar, tekad dan komitmen tersebut didorong oleh pencapaian memberansangkan PKNS sepanjang tahun lalu dalam pembangunan bisnes dan korporat.

“Pada tahun lepas, cabaran ekonomi dan sosial yang getir telah dilalui oleh PKNS demi mengangkat darjat dan martabat rakyat.

“Kesemua pencapaian ini membuktikan bahawa PKNS terbukti sebagai jenama yang dipercayai, berkredibiliti tinggi serta diterima ramai,” ujar Othman dalam satu kenyataan medianya.

Antara pencapaian cemerlang PKNS pada tahun 2012 adalah memperoleh keuntungan mencecah RM 300 juta dan pada masa yang sama, menjelaskan kesemua hutangnya.

Tidak mengabaikan peranan Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR), PKNS turut menanggung subsidi perumahan berjumlah RM 80 juta dalam projek perumahan mampu milik Bukit Botak, Selayang.

Kejayaan PKNS menyiapkan 1,422 unit rumah berkembar Bukit Botak dalam tempoh tidak sampai 18 bulan setelah ia terbengkalai hampir 30 tahun, membuka mata banyak pihak akan komitmen PKNS dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri.

Pada tahun lepas juga, PKNS dianugerahkan sebagai ‘Top 10 Property Developer Di Asia Tenggara’ oleh BCI Asia Awards.

Projek Datum Jelatek di Kuala Lumpur oleh Datumcorp International (milik penuh PKNS) turut menerima anugerah ‘Most Iconic Design of The Year’ oleh Malaysian Reserve Editors’ Choice Property Awards.

Untuk tahun 2013, Othman menjelaskan bahawa PKNS akan terus menumpukan usaha menerusi aktiviti-aktiviti teras bisnes dalam pembangunan hartanah antaranya di Antara Gapi, Kota Puteri, Bernam Jaya dan kawasan-kawasan lain.

“Pada masa yang sama, pihak pengurusan PKNS dengan penuh rasa tawadduk dan rendah diri sedar bahawa pencapaian ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan kepercayaan kerajaan, pihak berkuasa, rakan-rakan kongsi dan rakyat.

“Semoga tahun 2013 yang bakal mendatang akan membawa harapan baru khasnya kepada rakyat Negeri Selangor dan amnya Malaysia,” akhiri Othman dalam kenyataannya.


Pengarang :