Selangorkini
NASIONAL

Polis Didakwa Dwi Standard Larang Bawa Anak Ke HKR 112

selangor women HKR112 01
SHAH ALAM, 14 JAN: Polis tidak wajar mengenakan syarat larangan membawa kanak-kanak ke Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR 112) di Stadium Merdeka Sabtu lalu kerana ini juga berlaku di perhimpunan Umno di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei lalu.

Pemimpin Pakatan Rakyat berkata dalam perhimpunan Umno yang diadakan sempena ulang tahun ke-66 parti itu, juga terdapat ibu bapa yang membawa anak mereka ke acara tersebut.

“Polis kena konsisten, kalau nak kenakan syarat, syarat sama juga patut dikenakan pada perhimpunan anjuran BN,? kata Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha ketika dihubungi TV Selangor.

“Dalam perhimpunan atau acara anjuran Umno kadang-kadang berbas-bas budak sekolah mereka angkut.

“Jadilah profesional, pengkritik itu sendiri pun sebenarnya bukanlah ambil berat soal keselamatan, tetapi sengaja mencari salah kerana ketandusan isu,” Haniza berkata.

Beliau memberi respons terhadap sikap polis yang mahu mengambil tindakan terhadap peserta HKR 112 yang membawa kanak-kanak mereka ke himpunan gergasi itu Sabtu lalu.

Dalam satu laporan Berita Harian Online pada 11 Mei, 2,800 bas digunakan dari seluruh negara untuk membawa perserta ke perhimpunan Umno di stadium nasional Bukit Jalil.

Selain itu, terdapat juga golongan tua dan orang kelainan upaya (OKU) yang menyertai perhimpunan Umno itu.

Haniza juga berkata jaminan keselamatan yang diberikan polis kepada penganjur HKR 112 beberapa hari sebelum ia berlangsung juga menjadi pendorong kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka.

Manakala Exco Selangor, Teresa Kok berkata, membawa kanak-kanak ke himpunan dijadikan isu apabila PR berjaya menghimpunkan kira-kira 80,000 penyokong pada HKR 112 sehingga timbul perasaan iri hati oleh pemimpin Umno-BN.

“Nak halang memang tak munasabah kerana ia sama dengan kita bawa anak tengok konsert atau ‘countdown’ malam tahun baru atau ambang merdeka.

“Tambah lagi hari itu adalah hari Sabtu, sekolah dan pusat asuhan tutup, di mana mereka patut tinggalkan anak mereka?” Kata Teresa.

MP Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata tujuan Akta Perhimpunan Aman 2011 adalah untuk memastikan perhimpunan dapat dijalankan dengan aman.

Justeru itu pihak berkuasa harus memastikan keselamatan semua perserta termasuk kanak-kanak.

Sekiranya pihak berkuasa mengenakan syarat larangan terhadap kanak-kanak, maka akta tersebut haruslah dipinda dan dikenakan ke atas semua pihak.

“Adakah undang-undang untuk kita lain, untuk BN lain?” Soal Dr Siti Mariah.


Pengarang :