Polis Mahu “Lakar Sejarah” Kerjasama Dengan Penganjur Himpunan 12 Jan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Muhammad Asri Sapfie

Polis Mahu “Lakar Sejarah” Kerjasama Dengan Penganjur Himpunan 12 Jan

saifuddin ceramah grey 01

SHAH ALAM 8 JAN : Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar  berjanji bahawa polis akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat agar perhimpunan itu dapat berlangsung secara aman dan sejahtera.

Jaminan tersebut disambut dengan optimis dan terbuka oleh pihak penganjur yang mengadakan pertemuan selama sejam setengah dengan Ismail di Bukit Aman petang tadi.


Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang menyertai pertemuan itu berkata, pihak polis kali ini berjanji untuk memainkan peranan sebagai fasilitator.

Ini selaras dengan garis panduan yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2011 bagi memastikan kekecohan dahulu tidak berulang.

“Tan Sri Ismail sendiri mengajak kita bersama-sama untuk mencipta satu ‘historical moment’ dalam negara bahawa polis dan penganjur boleh bekerjasama dalam satu perhimpunan aman.

“Mereka juga mengaku kesilapan dahulu dan bertekad untuk belajar daripada kelemahan dan tidak mengulanginya lagi selepas ini,” jelas Saifuddin sewaktu dihubungi TVSelangor hari ini.

Himpunan yang digerakkan gagasan Pakatan Rakyat itu bakal menarik satu juta peserta pada Sabtu ini.

Pihak penganjur masih lagi memohon kepada Permodalan Nasional Berhad untuk menggunakan Stadium Negara, tetapi sehingga kini, tiada maklumbalas dari PNB.

Mengulas mengenai lokasi perhimpunan yang bakal berlangsung pada 12 Januari ini, Saifuddin yang juga MP Machang berkata sehingga kini mereka tidak menerima sebarang berita berhubung kelulusan untuk menggunakan Stadium Merdeka.

“Kita akan tunggu sehingga jam 1 tengah hari esok, jika masih tiada jawapan, kita akan mengumumkan lokasi himpunan dalam satu sidang media pada 4 petang esok di Ibu Pejabat PAS.

“Ketua Polis juga ada menanyakan mengenai perkara ini, dan kita beritahu beliau bahawa kita akan maklumkan kepada pihaknya sejurus kita mendapat satu keputusan muktamad esok,” tambahnya lagi.

Selain Saifuddin, pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir bersama mesyuarat Ketua Polis Negara petang tadi ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Datuk Teng Chang Kim serta aktivis NGO Bersih Maria Chin Abdullah dan Hishamuddin Rais.

Ismail pula diiringi Timbalannya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rashid serta pegawai-pegawai cawangan khas Bukit Aman.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION