Selangorkini
NASIONAL

PR Desak PM Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Pampasan ‘Wang Darah’

PC PR 1

PETALING JAYA, 8 JAN: Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes berhubung pampasan ‘Wang Darah’  berjumlah RM207 bilion daripada kerajaan Jepun kepada rakyat Malaysia.

Wang berkenaan diberikan sebagai pampasan kepada rakyat negara ini  yang terlibat di dalam pembinaan landasan maut sepanjang 415km daripada Siam ke Burma ketika perang dunia kedua 1942-1946.

Menurut Anwar, beliau sekali lagi menegaskan sekali lagi bahawa kewangan tersebut tidak diagihkan kepada Perbendaharaan Negara ketika beliau masih bertanggungjawab sebagai Menteri Kewangan.

“Saya dah sebut bahawa ia tidak diagihkan melalui Perbendaharaan.

“Saya seru Perdana Menteri, Najib Abdul Razak supaya melakukan siasatan bebas ke atas isu ini kerana RM207 bilion ialah satu jumlah yang besar.

“Beliau tidak boleh terus berdiam diri,” katanya ketika diminta mengulas perkara berkenaan.

Dalam kejadian berkenaan, seramai 72,000 rakyat Malaya pada ketika itu dikerah dan hanya 30,000 orang daripada mereka yang kembali ke Malaysia sementara selebihnya gagal dijejaki.

Selain itu, Anwar turut mendesak Najib supaya menyiasat isu pengeluaran wang haram yang dikeluarkan dari Malaysia seperti yang didedahkan sebelum ini  berdasarkan laporan Global Financial Integrity (GFI).

“Saya merujuk kepada laporan GFI tahun 2010, yang menyatakan RM190 bilion diseludup keluar dari negara ini.

“Hingga hari ini, PM dan Kementerian Kewangan terus berdiam diri. Jelas sekali mereka mengabaikan tanggungjawab mereka,” katanya lagi.

Anwar sebelum ini mendedahkan kegagalan Najib menguruskan ekonomi negara dibuktikan melalui jumlah aliran keluar wang haram yang meningkat 111 peratus dari angka US$30.41 bilion (bersamaan RM94.27 bilion) pada tahun 2009 kepada US$64.38 (bersamaan RM199.58 bilion) dalam tahun 2010.

Berbanding negara lain, Malaysia adalah satu-satunya negara yang menyaksikan jumlah aliran keluar wang haram meingkat satu kali ganda dalam tempoh 2009 hingga 2010.


Pengarang :