Projek Mentari : Bantu Selangor Lahir Generasi Muda Aktif Sukan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Projek Mentari : Bantu Selangor Lahir Generasi Muda Aktif Sukan

Projek Mentari2

SUBANG JAYA, 6 JAN : Dalam usaha melahirkan generasi muda yang aktif dan positif, Pangsapuri Desa Mentari mengambil inisiatif menyediakan pelbagai program menarik berunsurkan pendidikan dan hiburan.

Program yang dikenali sebagai Projek Mentari itu bermula seawal tahun 2007 dengan mensasarkan pelajar peringkat rendah dan menengah, berusia antara 7 hingga 17 tahun dan menetap di pangsapuri itu.


Projek Mentari 3

Pengurusnya, Nur Yasmin Osman berkata, Projek Mentari merupakan projek sukarelawan yang menawarkan kelas tuisyen secara percuma kepada semua peringkat pelajar bagi membina keyakinan diri.

Menurutnya, bagi memastikan pelajar tidak hanya terikat dengan pembelajaran semata-mata, pihak pengurusan Projek Mentari mengambil langkah dengan menganjurkan aktiviti “Play Your Game”, khusus untuk mengasah bakat pelajar dalam acara sukan.

“Kita sedar bahawa golongan muda ini terutamanya lelaki mudah bosan dengan akademik. Ada di kalangan mereka yang pernah berdepan masalah sosial sebaik sahaja keluar daripada projek ini dan seolah-olah hilang hala tuju.

“Justeru, kita mengambil keputusan untuk mengajurkan aktiviti ini sebulan lalu supaya kita dapat membina persahabatan di kalangan mereka di samping memberi tunjuk ajar agar mereka kembali ke landasan yang betul dan melakukan perkara yang bermanfaat,” katanya semasa sesi latihan bola “Play Your Game” di Padang Awam USJ 2, di sini.

Beliau berkata, penganjuran program itu berjaya membentuk sahsiah yang baik di kalangan pelajar, selain menerima sambutan menggalakkan sejak ia mula dianjurkan.

Jelasnya, melalui aktiviti “Play Your Game”, pelajar yang terlibat akan menjalani latihan secara berkala iaitu seminggu sekali sebelum menyertai perlawanan persahabatan.

Projek Mentari1

Sementara itu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap supaya program ini akan diteruskan bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang berdedikasi serta menanam azam untuk lebih berjaya.

Beliau berkata, program ini telah mendapat pengiktirafan daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Respons daripada ibu bapa mendapati pelajar yang menyertai projek ini semakin positif, malah pembelajaran juga bertambah baik. Saya ucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang menyertai program ini dan berharap orang ramai sama ada pihak persendirian mahupun korporat untuk menyumbang tenaga dan kewangan bagi menjayakannya,” katanya.

Pada acara itu, Nik Nazmi turut menyerahkan sumbangan sejumlah RM6,000 kepada badan itu untuk membeli peralatan bola sepak bagi kegunaan pelajar.

Dalam pada itu, Mohd Hanif Hasan, 16, yang menyertai program itu melahirkan keseronokannya apabila terpilih sebagai salah seorang peserta untuk menyertai program itu.

“Memang seronok kerana dapat beriadah bersama rakan-rakan. Harap-harap ia akan diteruskan kerana aktiviti begini dapat mengasah bakat belia untuk bermain bola,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION