Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Putar Belit Kenyataan PKR Mahu Rujuk KJ Ke Mahkamah

azmin ali

SHAH ALAM 17 JAN : Kenyataan susulan yang dikeluarkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin selepas penyelesaian isu saman Anwar-KJ perlu dirujuk semula kepada mahkamah kerana dipercayai mempunyai unsur menghina mahkamah.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata perkara terbabit perlu diberi perhatian serius supaya dapat mengelakkan putar belit yang dilakukan beliau.

Katanya, kenyataan susulan yang angkuh menggambarkan beliau tidak insaf dan tidak jujur.

“Beliau lebih rela berbohong daripada berterus terang kepada rakyat sedangkan beliau sendiri menarik balik fitnah yang dibuatnya.

“Seterusnya, beliau juga cuba memberi gambaran seolah-olah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon perkara itu diselesaikan di luar mahkamah kerana bimbang dengan perbicaraan penuh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Sehubungan itu, pihaknya akan mendapatkan peguam untuk membuka semula kes itu kepada pihak mahkamah.

Semalam, Khairy mendakwa beliau tidak menarik balik kenyataannya berkenaan Anwar tetapi cuma berkata apa yang dipetik itu tidak betul dan tidak tepat.

Kes saman fitnah RM100 juta yang difail Anwar terhadap, Khairy pada 7 September  2007 diselesaikan semalam selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Anwar dalam samannya mendakwa Khairy, yang ketika itu Timbalan Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada satu majlis politik di Kuala Kangsar pada Ogos 2007, yang disiar media cetak dan elektronik pada 3 Ogos tahun sama.


Pengarang :