Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Rakyat Selangor Diseru Hadir Himpunan Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat

Himpunan Air 01

SHAH ALAM, 22 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Selangor hari ini menggesa seluruh rakyat Selangor hadir ke perhimpunan menolak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebagai syarikat mengurus air di negeri ini.

Perhimpunan yang diadakan di perkarangan Masjid Sultan Sulaiman, Klang itu akan diadakan selepas solat Jumaat pada 25 Januari ini.

Menurut satu kenyataan Penyelaras SAMM Selangor Azhar Achil, perhimpunan yang dianjurkan bersama dengan AMK Selangor itu turut mendapat kerjasama dari Pakatan Rakyat Selangor.

“Rakyat Selangor terpaksa melanggan perkhidmatan Syabas yang tidak mempunyai kepakaran dalam pengurusan bekalan air hingga menyebabkan rakyat mendapat perkhidmatan yang tidak memuaskan.

“(Dan) kini mengalami gangguan bekalan air ditambah dengan kadar tarif yang tidak munasabah dan amat membebankan,” menurut Azhar dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Kerajaan Negeri menjalankan usaha untuk mengambilalih Syabas apabila syarikat konsesi itu gagal memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pengguna di Selangor.

Bagaimanapun usaha itu menemui jalan buntu apabila Kerajaan Persekutuan enggan memberi kerjasama kepada usaha Kerajaan Negeri.


Pengarang :