Selangorkini
NASIONAL

Salahguna Dana Awam, JASA Perlu Dibubar

lim kit siang oren 01

SHAH ALAM 28 JAN : Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Penerangan, Datuk Fuad Hassan perlu dipecat dan keseluruhan jabatan itu hendaklah dibubarkan kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya.

Ia kerana beliau sebagai kakitangan awam didakwa menyalahgunakan dana awam apabila mempromosikan capaian media sosial untuk pihak Umno-BN yang sepatutnya dibayar oleh dana parti dan bukannya menggunakan dana awam.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Fuad dan JASA hanyalah sebahagian daripada penyalahgunaan terang-terangan jentera awam dan penyalahgunaan dana awam untuk memenuhi matlamat dan objektif pemimpin Umno-BN.

Sebelum ini, Fuad dalam Majlis Perjumpaan Rakan Media Sosial Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa Johor menyatakan BN berkemampuan mencapai kemenangan dua pertiga pada pilihan raya umum ini.

Fuad menjelaskan bagi memperoleh majoriti dua pertiga, BN perlu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada pengundi Cina dan masing-masing 65 peratus undi daripada pengundi Melayu dan India di seluruh negara.

Fuad menzahirkan keyakinan bahawa sokongan orang Melayu untuk BN di Johor mampu melebihi 80 peratus manakala sokongan orang India juga telah pulih sepenuhnya daripada kejatuhan pilihan raya 2008 dan begitu juga sokongan masyarakat Cina.

“Bukanlah urusan beliau untuk mengetuai sebuah jabatan kerajaan, JASA yang didanai oleh dana awam, berkempen untuk Umno-BN.

“Ini merupakan penyalahgunaan dana awam dan kemudahan kerajaan, penyelewengan kerajaan yang semakin menjadi-jadi, terang-terangan dan berleluasa selepas 55 tahun pemerintahan Umno-BN,” kata Kit Siang dalam kenyataan medianya.

Jelas Kit Siang, generasi pertama pemimpin kemerdekaan yang diketuai oleh Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman amat sedar kepentingan membezakan antara fungsi kerajaan, parti politik yang berkuasa dan kapasiti peribadi.

“Inilah puncanya mengapa Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada April 1959, apabila beliau merasakan yang beliau perlu ke serata negara untuk mengukuhkan sokongan terhadap Perikatan sebelum pilihan raya umum 1959,” katanya.

Ujarnya, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk sementara waktu antara April hingga Ogos 1959 supaya beliau tidak akan dituduh menyalahgunakan kuasanya dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Ia apabila beliau mengetuai kempen untuk meraih sokongan umum kepada Perikatan, lalu menyambung semula jawatan Perdana Menteri selepas Perikatan memenangi pilihan raya umum 1959.

“Hari ini terdapatnya jabatan dan Kementerian yang matlamatnya hanya satu ? menyalahgunakan kuasa dan dana awam secara terang-terangan dan tidak tahu malu berkempen meraih undi untuk Umno-BN,” katanya.


Pengarang :