Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Selangor Sekat Capex Kerana Syabas Tak Tepati Perjanjian 2004

Demo Depan Syabas 05

SHAH ALAM 16 JAN: Kerajaan Negeri menyekat Perbelanjaan Modal (Capex) kerana Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) didakwa gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam Akta Perjanjian Penswastaan Air 2004.

Syarikat konsesi itu didakwa tidak menggunakan kaedah tender terbuka dalam perlantikan kontraktor untuk kerja-kerja penyelengaran dan membaikpulih sistem pengagihan air.

Sebaliknya dakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Syabas menggunakan kaedah pemberian terus yang mengikut Laporan Ketua Audit Negara, tidak digalakkan.

Abdul Khalid juga berkata Syabas gagal dalam usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 15 peratus seperti yang dipersetujui di dalam perjanjian penswastaan air 2004.

Kata Abdul Khalid, Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk tidak meluluskan Capex kerana kerja pembaikpulih yang dilakukan Syabas adalah terhadap aset perkhidmatan air yang dimiliki Selangor.

Abdul Khalid berkata, permohonan dan penggunaan Capex mesti mengikut prosedur iaitu melalui proses tender terbuka dan bukannya pemberian terus kerana ianya melibatkan dana Kerajaan Negeri.

“Bagi sesetengah kes, Kerajaan Negeri sedia menggunakan dana negeri untuk Capex tetapi ia mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Katanya, Syabas turut dikritik oleh laporan Ketua Audit Negara kerana tidak melakukan proses tender terbuka dengan mengatakan ia bukanlah tindakan yang bijak untuk digunakan.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita ketika sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid mendakwa Syabas gagal menyediakan pelan jangka pendek dan panjang bagi mengenalpasti kawasan yang mempunyai kadar NRW yang tinggi.

NRW adalah air yang hilang semasa proses pengagihan disebabkan terutamanya paip bocor atau dicuri.

Sehingga kini, Syabas masih gagal menurunkan tahap NRW daripada lebih 30 peratus kepada 15 peratus seperti perjanjian 2004 itu.


Pengarang :