Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Teresa : Syarat Polis Untuk Ceramah Tidak Munasabah

teresa red exco 01

SHAH ALAM, 16 JAN: Exco Selangor, Teresa Kok akan menulis surat kepada Ketua Polis Selangor bagi menyampaikan ketidakpuasan berhubung syarat dan sekatan perhimpunan yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah Serdang terhadap ceramah politik di Padang Puchong Jaya yang disifatkan tidak munasabah.

Menurut Teresa yang juga Adun Kinrara, pada asalnya ceramah tersebut diadakan pada 8 Januari lalu di tempat sama tetapi polis menolak permohonan berkenaan dengan alasan tempoh pemberitahuan pihak DUN kepada polis hanya lapan hari sedangkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, pihak polis perlu dimaklumkan 10 hari lebih awal sebelum tarikh program.

Namun demikian, selepas pihak penganjur menunda ke tarikh 17 Januari, polis pula mencetak 1,500 naskah notis kepada penduduk sekitar tapak ceramah yang menggalakkan orang ramai membantah.

Pada 14 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Abd Razak Elias mengeluarkan senarai 25 ‘syarat-syarat kepada menganjur’ yang mengundang rasa tidak senang penganjur.

Aantara syarat yang terkandung dalam surat berkenaan adalah amat tidak munasabah iaitu;Unit Amal PAS tidak dibenarkan sama saekali mengawal kenderaan lalu lintas kerana ini akan dan boleh membangkitkan perasaan provokasi kepada masyarakat awam yang tidak terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Penganjur menyatakan jangkaan kehadiran peserta seramai 500 orang di dalam borang di bawah jadual keeempat (seksyen 10) Pemberitahuan Di Bawah Subseksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), sekiranya kehadiran peserta melebihi jangkaan dan berada di luar kawasan yang dibenarkan, Ketua Polis Daerah mempunyai kuasa untuk menyuraikan perhimpunan di bawah Seksyen 21(1)(a) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Penganjur hendaklah memastikan peserta atau hadirin tidak meminum minuman keras atau mengambil dadah semasa menghadiri ceramah ini untuk mengelakkan tingkah laku yang agresif di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Ceramah politik diadakan di tempat ruang tepi jalan dan di hadapan restoran, sekiranya Unit Amal PAS tidak dibenarkan untuk mengarah trafik, ia kemungkinan akan menyebabkan kesesakkan lalu lintas di tempat berkenaan.

“Bagi syarat jumlah kehadiran, kami tidak dapat memastikan bilangan jumlah peserta yang menghadiri ceramah kurang dariapda 500 orang. Bagi polis menyuraikan peserta sekiranya kehadiran melebihi dari jangkaan adalah tidak munasabah.

“Manakala tapak ceramah diadakan di hadapan restoran yang mana pelanggannya juga makan dan minum di tapak di luar restoran. Kami memang tidak boleh menghalang pelanggan restoran untuk minum di tapak luar restoran. Jadi syarat ini sukar untuk dipenuhi,” katanya dalam satu sidang media.

Tegasnya, objektif Akta Himpunan Aman adalah untuk memudahkan penganjur mengadakan program dan bukannya digunakan polis untuk menghalang perhimpunan dan program.


Pengarang :