Selangorkini
SELANGOR

Unisel Sediakan Kediaman Sementara Bagi Pelajar Bestari Jaya

anuar unisel mic pc 01

SHAH ALAM 3 JAN : Atas faktor keselamatan, Universiti Selangor (Unisel) telah memindahkan 2,000 pelajarnya yang menghuni di asrama Bestari Jaya ke beberapa kediaman di luar kampus.

Langkah tersebut diambil bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kawasan kampus yang dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr. Anuar Ahmad berkata pihaknya kini sedang menunggu respon daripada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), syarikat yang bertanggungjawab menguruskan asrama tersebut tentang kerja pembaikan.

“Sejak surat dihantar 27 Disember lalu hingga kini, kita masih tidak menerima sebarang maklum balas daripada JNSB samada mereka bersedia untuk menanggung kos pembaikan atau tidak.

“Jika mereka masih senyap, kita menganggap mereka tidak berminat.

“Namun kita akan teruskan juga kerja-kerja pembaikan dengan bantuan dan sokongan Kerajaan Negeri,” jelas Anuar yang ditemani Exco Pendidikan Tinggi, Dr. Halimah Ali dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Halimah memberitahu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM 20 juta untuk kerja-kerja pembaikan asrama tersebut sekiranya JNSB enggan bertanggungjawab.

Pelajar Unisel kampus Bestari Jaya yang akan mula mendaftar pada 11 Januari akan ditempatkan di kediaman sementara di Bandar Tasik Puteri, Rawang dan Kota Puteri, Ijok, selain beberapa kediaman lain di kawasan Ijok.

Mereka juga akan disediakan perkhidmatan pengangkutan, internet serta pegawai keselamatan.

Anuar menjelaskan bahawa pelajar masih membayar RM 200, sama seperti kadar di asrama yang asal.

Dilaporkan pada 20 Disember lalu, atas permintaan Unisel, Bahagian Senggara Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor melakukan tinjauan di kawasan asrama Unisel Kampus Bestari Jaya.

Tinjaun tersebut mendapati keadaan tanah mengalami mendapan yang serius sehingga menganggu kelancaran sistem kumbahan, perparitan dan kabel bawah tanah.

Susulan dari itu, JKR pada 26 Disember menyarankan agar kerja-kerja pembaikan dilakukan segera dan bangunan asrama perlu dikosongkan penghuni.


Pengarang :