NASIONAL

Halang Forum Pilihan Raya Di UM, Bukti Tranformasi Najib Retorik

nik nazmi

SHAH ALAM 20 FEB : Tindakan Kerajaan Umno-BN menyekat penganjuran forum pilihan raya di Universiti Malaya (UM) membuktikan bahawa slogan transformasi yang diuar-uarkan hanya retorik kosong semata-mata.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan pihak UM ditekan agar membatalkan forum tersebut yang sepatutnya turut membariskan ahli politik Pakatan Rakyat(PR) dan BN.

“Pengarah UMCEDEL Mohammad Redzuan Othman memaklumkan bahawa beliau menerima SMS untuk membatalkan program tersebut, dan arahannya datang daripada Pejabat Perdana Menteri(Datuk Seri Najib Razak) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” tegas Nik Nazmi dalam satu kenyataan medianya.

Semalam, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMCEDEL) menganjurkan sebuah forum bagi membincangkan sama ada Pakatan atau BN akan menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Forum itu pada asalnya dijadualkan menampilkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa serta Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

“Ironisnya Saifuddin Abdullah sendiri merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang dilantik oleh Perdana Menteri.

“Najib selaku Perdana Menteri ?transformasi? yang turut melantik Saifuddin ke jawatan beliau harus tampil dengan jawapan mengenai insiden ini yang sekali lagi menjadi tamparan hebat kepada kebebasan akademik di universiti,” tambah Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia.

Ekoran tekanan yang diterima, pihak penganjur terpaksa menggantikan ahli panel tersebut dengan ahli akademik yang terdiri daripada penyelidik UMCEDEL, Shaharuddin Badaruddin dan Thock Ker Pong serta Profesor Datuk Mohammad Abu Bakar.

Bagaimanapun, Nurul Izzah tetap hadir sebagai penonton di forum tersebut dan turut diberi peluang naik ke pentas ketika sesi soal jawab, selepas seorang pelajar mengajukan soalan mengenai keupayaan PR untuk memerintah.


Pengarang :