Selangorkini
SELANGOR

Ibu Tunggal Terharu Dikunjungi Menteri Besar Selangor

ibu tunggal

CHERAS, 15 FEB : Seorang ibu tunggal di Pangsapuri Bukit Jalil di sini terharu apabila menerima kunjungan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang membuat lawatan di kawasan itu sempena program ramah mesra Bandar Tun Razak.

Azizah Muhammad, 56, yang kehilangan suami pada Januari lalu mengakui terkejut, namun gembira apabila diberitahu Abdul Khalid singgah melawat di rumahnya.

“Saya tidak menyangka Menteri Besar sudi melawat kami sekeluarga. Alhamdulillah, syukur kerana ada juga yang sudi menziarah kami,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Dalam lawatan itu, Abdul Khalid meluangkan sedikit masa beramah mesra bersama keluarga Azizah sebelum menyerahkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Abdul Khalid semalam mengadakan lawatan di sekitar Bandar Tun Razak bagi bertemu dan beramah mesra bersama masyarakat setempat.

Lawatan yang bermula pada pukul 6.30 petang di Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan itu menyaksikan Menteri Besar bersalaman bersama orang ramai yang menggunakan kenderaan awam di situ sambil mengedarkan buah limau sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Abdul Khalid kemudiannya menunaikan solat maghrib di Surau Darul Naim Desa Tun Razak sebelum meneruskan lawatannya ke Bukit Jalil untuk mengadakan sesi ramah mesra bersama penduduk di kawasan itu.

Program kemudiannya diakhiri dengan sesi ceramah kelompok serta majlis makan malam bersama jentera parti dan penduduk setempat di kawasan berhampiran (Bukit Jalil).

Sementara itu, rata-rata penduduk yang ditemui berpuas hati dengan kepimpinan Abdul Khalid dalam mentadbir negeri serta memuji usaha Kerajaan Negeri mengembalikan hak rakyat.


Pengarang :