Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Prihatin Nasib Pelawak Veteran Datuk Yahya Sulong

hospital HKL 1

KUALA LUMPUR 5 FEB : Kerajaan Negeri menghulurkan sumbangan berjumlah RM4,000 kepada pelawak veteran, Datuk Yahya Sulong yang kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Setiausaha Persatuan Lawn Bowl Selangor, Hamzah Sajadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor.

Pemberian ini atas dasar tanggungjawab sosial dan prihatin Kerajaan Negeri berkenaan masalah kesihatan yang dialami.

Yahya, 84, menghidap asma dan sakit paru-paru, manakala Hamzah mengalami kecederaan dan koma dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 Januari lalu apabila kereta dipandu dirempuh sebuah lori.

Kemalangan tersebut turut mengorbankan isteri Hamzah, Siti Hamidah Masnan, 50, dan anak perempuannya, Siti Amalina, 15, tercedera dan ditempatkan di HTAR.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri memutuskan menyalurkan bantuan itu pada Disember tahun lalu dan ia adalah satu usaha bagi membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira sama ada anak Selangor atau tidak.

“Kerajaan Selangor hari ini menyumbangkan RM2,000 untuk memastikan keperluan mereka dapat dipenuhi. Nilai duit itu bukanlah isu cuma keprihatinan itu dan secara tidak langsung kita juga berbincang jika ada keperluan lain yang boleh diberikan,” katanya selepas lawatan di HKL.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor mendoakan agar kedua-dua pesakit ini kembali sembuh dan menjalani hidup seperti sedia kala.

Sementara itu, anak kedua Hamzah, Faid, 26, berkata, dia dan ahli keluarga yang lain berasa sedih dengan kejadian menimpa keluarga mereka terutama kehilangan ibu mereka.

“Saya dan adik beradik lain sama-sama menjaga bapa dan adik kami yang kini menjalani rawatan di hospital. Saya juga berhenti kerja untuk memudahkan saya menjalankan tangungjawab ini.

“Kami bersyukur dengan bantuan diberikan Kerajaan Negeri yang prihatin dengan apa yang berlaku pada keluarga kami,” katanya.

HTAR


Pengarang :