Selangorkini
Pelbagai

Lantik Najib : Umno-BN Selangor Sudah Tidak Bermaya

azmizam

SHAH ALAM 26 FEB : Perlantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Selangor adalah bukti jelas betapa Umno-BN negeri itu sudah tidak bermaya berdepan sokongan padu rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, keadaan ini dilihat tindakan terdesak dari Perdana Menteri sendiri selaku Pengerusi BN, sehingga terpaksa turun bagi menyuntik semangat kepada jentera mereka yang kian lesu.

“AMK Selangor menyatakan bahawa tidak akan sama sekali gentar untuk bertarung dalam Pilihanraya Umum ke 13 dan perlantikan Najib Razak.

“Ia cuma mendedahkan lagi kepincangan kepimpinan Umno-BN yang terus menerus buntu menghadapi kemaraan rakyat yang bakal menolak mereka buat penggal kedua berturut-turut,” kata Azmizam dalam kenyataan medianya.

Tegas beliau, AMK Selangor turut mempersoalkan bahawa Umno-BN tidak mempunyai calon Menteri Besar untuk negeri itu.

“Apakah yang terlalu dicemaskan oleh Najib Razak dengan tindakan ke belakang beliau dengan bersetuju menjadi pengarah pilihan raya negeri sahaja.

“Apakah Najib Razak bimbang sabotaj dari dalam yang akan menjerat hayat politik beliau dalam Umno sekiranya beliau gagal memimpin BN untuk sekurang-kurangnya bertahan di Putrajaya,” soal beliau.

Ujarnya, sekiranya Najib Razak dan Datuk Seri Mohamed Zin merasakan perkara ini akan menggetarkan anak muda AMK , ternyata telahan itu sama sekali adalah silap.

“AMK Selangor akan melangkah teguh memimpin jentera anak muda untuk memastikan segala strategi Najib Razak dipatahkan demi mempertahankan negeri ini,” katanya.


Pengarang :