Selangorkini
NASIONAL

LGE : DAP Penang Bela Islam, Melayu Lebih Dari BN Penang

lim guan eng konvesyen PR 01

 

SHAH ALAM 25 FEB : Setelah lima tahun difitnah Umno-BN bahawa ia anti-Islam dan anti-Melayu, kini Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah membuktikan bahawa ia telah lebih membantu masyarakat Melayu-Islam daripada Kerajaan Umno-BN dahulu.

Ini diikhtiraf, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, oleh mahkamah Malaysia sendiri apabila beliau menang dua kes saman terhadap akhbar milik Umno-BN Utusan Malaysia.

Di dalam kedua-dua kes itu, Utusan Malaysia didapati bersalah menfitnah Guan Eng sebagai anti-Islam.

Ini susulan pertambahan peruntukkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke institusi agama seperti Sekolah Agama Rakyat dan dana bagi program-program agama.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mewujudkan Tapak Perindustrian Halal, menambah elaun bulanan sebanyak 80 peratus kepada tok siak dan bilal dan mengiktiraf para huffaz.

“Di Pulau Pinang, kita meningkatkan peruntukan hal ehwal Islam berkali-kali ganda berbanding Kerajaan BN.

“Malah, status agama Islam sebagai agama persekutuan juga telah dimasukkan ke dalam perlembagaan DAP,” tegas Guan Eng.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 2,000 perwakilan di Shah Alam Convention Centre (SACC) pagi tadi sempena Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke empat.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu pengaliran wang haram ke luar negara yang dilihat semakin kronik dan merugikan rakyat.

Laporan badan pemerhati kewangan antarabangsa, Global Finance Integrity yang berpengkalan di Washington mendedahkan sejumlah RM 197 billion pengeluaran wang haram berlaku di Malaysia pada tahun 2010.

Jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM 871 billion sepanjang sepuluh tahun bermula pada tahun 2001 sehingga 2010.

“Maka penting bagi kita semua bangkit menghapuskan amalan rasuah dan penyelewengan wang yang sangat merugikan rakyat.

“Bayangkan jika wang itu dapat diselamatkan, pasti ia dapat disalurkan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat,” jelasnya lagi.


Pengarang :