Selangorkini
SELANGOR

1,000 Permit : Pemandu Teksi Rasa Tertipu

teksi

SHAH ALAM 26 MAC: Rata-rata pemandu teksi yang hadir ke program pemberian permit teksi individu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, rasa tertipu dan kecewa kerana tidak dimaklumkan lebih awal bahawa hanya 1,000 permit teksi sahaja yang diberikan pada hari itu.

Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan berkata, beliau dan lebih 6,000 pemandu teksi yang hadir sejak awal pagi ke program anjuran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu perlu mengisi borang dan hanya 1,000 yang terpilih sahaja akan diberikan permit teksi individu.

“Majoriti yang datang semua kecewa, sebab datang pukul 8.30 pagi, kena isi borang dan kemudian dia (SPAD) kata submit kat sana dan dia (SPAD) akan proses.

“Kemudian bila orang dah ‘argue’ di kaunter, dia (SPAD) kata boleh ‘submit’ selepas waktu itu, maknanya tiada ‘expired date’ dan boleh ‘submit’ ke Putrajaya,” katanya kepada TVSelangor.

Katanya, program itu hanya bertujuan bagi menunjuk-nunjuk dengan harapan supaya pemandu teksi akan terus menyokong Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Pada program itu, Najib mengumumkan pemberian 1,000 permit teksi individu dan geran bernilai RM5,000 kepada setiap seorang pemandu teksi bagi pembelian kereta Proton Exora yang diwajibkan digunakan sebagai teksi.

Menurut Amran,  pemberian 1,000 permit teksi individu ini tidak menyelesaikan masalah yang masih membelenggu pemandu teksi.

“Manifesto PR adalah menghapuskan monopoli kroni dan syarikat pengusaha teksi dengan memberikan setiap seorang pemandu teksi permit teksi individu.

“Pemandu juga diberikan insuran Takaful, walapun sedikit, tapi dia akan ‘cover’ SOCSO yang pemandu teksi tak pernah dapat selama 40 tahun lebih industri teksi ini beroperasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemberian 1,000 permit teksi oleh Najib ini masih menguntungkan syarikat pengusaha teksi dan menyebabkan pemandu teksi bertambah beban kesan penambahan jumlah permit teksi individu itu.

Menurut Amran, sehingga kini terdapat 80,000 permit teksi yang dikeluarkan oleh SPAD dan penambahan 1,000 permit teksi individu ini hanya menambahkan permasalahan yang dihadapi pemandu teksi.

“Sekarang yang 80,000 itu pun orang (pemandu teksi) susah nak cari makan, ditambah lagi 1,000, kemudian dia (SPAD) janji lagi akan bagi permit secara tahunan, maknanya syarikat tak dikurangkan permitnya, permit akan jadi bertambah-tambah,” katanya lagi.


Pengarang :