Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Anwar: Sedia Hadapi Fitnah, Berundur Tidak Sekali

Forum 5 tahun pakatan Dataran Shah Alam 02

SHAH ALAM, 10 MAC: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk berhadapan dengan sebarang putar belit kenyataan yang bakal dimainkan media Pro-Umno-BN termasuk mengaitkannya berhubung konflik di Lahad Datu, Sabah.

“Saya akan hadapi, namun berundur tidak sekali. Kita doa Allah akan bagi kekuatan.

“Siapa mahu diaibkan hampir 15 tahun? Setiap malam mereka (media Pro-Umno/BN) maki saya. Saya fikir mengenai (Datuk Seri) Azizah, anak-anak, kawan-kawan yang setia.

“Tetapi bagi saya ada pengajarannya, ada hikmahnya,” katanya.

Forum 5 tahun pakatan Dataran Shah Alam 01Awal minggu ini menyaksikan pihak media memanipulasikan lagu ‘Sabah Nak Hilang’ dendangan Anwar yang sering dinyanyikan dalam siri ceramah umum sejak enam bulan lalu selain ‘menyembunyikan’ bait lirik ‘Umno Melayang, Najib Jadi Ketua Pembangkang’.

Selain itu, Anwar turut mengemukakan saman fitnah terhadap akhbar Utusan Malaysia dan Stesen Televisyen TV3 bernilai RM100 juta setiap agensi.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor turut memuji integriti kekuatan yang diamalkan pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan tidak mampu dicabar Umno-BN.

“Inilah kekurangan asas yang tidak mampu dicabar Umno-BN. Dia tidak boleh pertikai integriti Tan Sri (Abdul Khalid),” tambahnya dalam ucapan sempena malam kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Kerajaan Selangor.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh memaklumkan pada peringakat ini pembahagian kerusi di antara ketiga-tiga parti dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) sudah mencapai 90 peratus selesai dan masih dalam proses rundingan.

Jelas Anwar, proses pembahagian ini masih diperingkat rundingan di antara Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.

“Yang penting bila keputusan dibuat, kita ambil keputusan dan muafakat kita kerja sedaya upaya sebagai satu pasukan.

“Calon PKR adalah calon PAS. Calon PAS adalah calon DAP dan Calon DAP adalah calon semua ketiga-tiga parti ini,” katanya

Tegasnya, sekiranya wujud mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan keputusan calon seperti yang telah dipersetujui ketiga-tiga parti jelas membuktikan mereka tidak memahami kerangka sebenar perjuangan dan menyekat usaha kemenangan PR ke Putrajaya.


Pengarang :