NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Beri Tanah Untuk Hospis Bina Pusat Penjagaan Paliatif

hospis

KLANG, 1 MAC: Kerajaan Negeri  meluluskan pemberian tanah seluas satu ekar yang terletak di Bandar Parklands, Klang kepada Pertubuhan Hospis Klang bagi tujuan mendirikan Pusat Penjagaan Paliatif khususnya rawatan susulan pesakit luar.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, keputusan tersebut diambil setelah meneliti kepentingan untuk mewujudkan pusat jagaan ini kepada pesakit kronik yang tinggal di sekitar Klang dan Banting.

Katanya, Pusat Penjagaan Paliatif yang bakal dibina ini berada di lokasi yang strategik kerana berhampiran dengan laluan utama yang akan memudahkan urusan perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah serta beberapa hospital lain.

“Geran tanah juga diberikan dan pusat ini dijangka siap pembinaannya dalam tempoh setahun setengah hingga ke dua tahun,” katanya ketika hadir dalam majlis penyerahan tanah tersebut di Bandar Parklands, Klang semalam.

Sementara itu, Pertubuhan Hospis merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dalam program rawatan perubatan dan emosi untuk pesakit tenat akibat menghidapi penyakit kritikal yang membawa maut seperti kanser peringkat akhir.

Sehingga kini, pertubuhan ini bergantung kepada ‘public donations’ untuk menanggung kos perkhidmatan kerana bantuan daripada Kementerian Kesihatan adalah sangat minima untuk dua tahun kebelakangan ini.

Hospis 2

Dr Xavier turut berharap Kerajaan Persekutuan lebih mengambil berat tentang kos aktiviti Persatuan-Persatuan Hospice di seluruh Malaysia yang kebanyakkannya adalah pertubuhan ‘non-profit’.

“Ia sepatutnya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan Penjagaan Paliatif “palliative care” boleh diperolehi oleh semua lapisan masyarakat,” katanya yang merupakan Adun Sri Andalas.

Dalam pada itu, Pengerusi Hospis Klang, Dr Michael Yoong berterima kasih di atas usaha Kerajaan Negeri memberikan tanah untuk pembinaan Pusat Penjagaan Paliatif ini.

“Hasrat kami untuk memberikan perkhidmatan penjagaan paliatif yang terbaik tidak akan tercapai jika Kerajaan Negeri tidak berbesar hati memberikan tanah ini,” katanya.


Pengarang :