Selangorkini
SELANGOR

Permohon Sijil Halal JAIS Naik Empat Kali Ganda

seminar industri halal mb teresa 01

SHAH ALAM 11 MAC : Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mewujudkan satu Bahagian Pengurusan Halal yang khusus bagi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ini kerana JAIS memerlukan Bahagian Pengurusan Halal yang lebih besar ekoran peningkatkan tinggi permohonan sijil halal yang memberangsangkan sejak tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sejak aplikasi online e-halal dilaksanakan, permohonan pensijilan yang diterima JAIS meningkat lebih empat kali ganda.

“Sebelum ini, JAIS hanya mampu memproses permohonan pensijilan halal sekitar 250 permohonan setahun secara manual. Namun ia meningkat kepada 1,100 permohonan yang diterima sepanjang tahun 2012.

“Malah, permohonan pensijilan halal (yang diterima JAIS) adalah 40 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan pensijilan halal di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Seminar Eksekutif Halal dan Dialog Industri, di Hotel Blue Wave, di sini.

Hadir sama Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Husin dan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Teresa Kok.

Beliau menambah Bahagian Pengurusan itu memerlukan 60 orang pekerja yang mahir dalam bidang sains dan teknologi.

“Kita memerlukan penambahan jawatan yang kompetan, peruntukan kewangan dan keperluan logistik bagi mengoptimumkan tahap pengurusan halal di negeri ini.

“Selebihnya nanti, kita akan hantar mereka untuk belajar dan menghadiri kursus latihan supaya mahir dalam industri halal ini.

“Kita percaya industri ini akan membawa lebih pelaburan di Selangor, jika setakat ini dalam lima tahun kita berjaya membawa pelaburan hampir RM 50 bilion, ia akan meningkat di masa akan datang melalui industri ini,” katanya.

Sebelum ini, pensijilan halal dikendalikan oleh satu unit yang dianggotai tujuh kakitangan JAIS.


Pengarang :