Selangorkini
NASIONAL

PKR Dakwa BL1M Tetap Ada Penipuan

BL1M chang lih kang 02

PETALING JAYA, 11 MAC: PKR tidak akan mengemukakan permohonan maaf mahupun menarik balik kenyataan berhubung dakwaan wujudnya penipuan terhadap program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M).

Adun Teja, Chang Lih Kang berkata, pendirian ini jelas dan mereka bersedia berhadapan sebarang tindakan undang-undang yang bakal dikenakan terhadap mereka.

“Kami ingin nyatakan kepada MYEG dan Pemuda Umno, kami takkan tarik balik kenyataan dan mengemukakan permohonan maaf.

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya di atas kenyataan yang kami keluarkan minggu lepas di dalam sidang media,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Minggu lalu, Chang bersama Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail mendakwa, BL1M merupakan skim penipuan yang diilhamkan Pemuda Umno-BN untuk digunakan sebagai ruang mengaut keuntungan dan menindas pengusaha institut memandu.

Menurut kenyataan Chang sebelum ini, melalui skim itu, yuran ujian memandu dikurangkan dari RM261 kepada RM199, malah kerajaan langsung tidak mengeluarkan sebarang dana.

Sebaliknya pengurangan sebanyak RM62 terpaksa ditanggung sendiri oleh pengusaha institut memandu.

Sementara itu hari ini Siti Aishah memaklumkan, sebanyak 167 institut memandu bernaung di bawah Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima) dan Pemuda Umno perlu menjawab bagaimanakah nasib pemohon sekiranya semua institut memandu bertindak untuk tidak menyertai program ini.

“Pima juga dimaklumkan pihak Pemuda Umno dan MYEG akan membuka tender kepada semua institut memandu (IM) yang berminat dan memberikan harga terendah bagi mendapatkan lesen B2.

“Ini jelas terbukti harga yang pernah ditawarkan kepada IM sebelum ini sehingga hanya RM100 setiap calon.

“Dengan harga terlalu rendah, Pima bimbang serta memandang serius perkara ini kerana institut memandu boleh terjejas seperti kualiti perkhidmatan serta untuk mematuhi SOP (Standard of Procedure) yang telah ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Tambah beliau, pihak bertanggungjawab perlu memperincikan setiap bayaran dan nama institut memandu yang menyertai program ini.


Pengarang :