Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Tidak Tertumpu Kepada Satu Kaum, Manifesto Pakatan Untuk Semua

anwar persidangan pru 13 03

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat (PR) merupakan penterjemahan prinsip gagasan itu untuk membantu semua golongan masyarakat yang memerlukan bantuan, tanpa tertumpu kepada kaum tertentu.

Ini menunjukkan iltizam PR untuk memperjuangkan nasib semua rakyat tanpa meminggirkan mana-mana golongan atau kaum termasuk kaum India dan golongan kelainan upaya (OKU).

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manifesto yang dilancarkan 25 Febuari lalu itu dengan jelas membuktikan kesungguhan PR untuk membantu semua golongan tanpa mengambil kira dasar perkauman.

“Dalam manifesto kita, memang tak ada sebut bangsa Dayak, Melayu atau sebagainya tetapi kita sebut rakyat sebab ini adalah manifesto rakyat? kata Anwar.

Beliau mengulas kritikan daripada beberapa pemimpin Pakatan sendiri yang baru-baru ini mahukan manifesto tersebut mengandungi bahagian-bahagian khas bagi kaum mereka.

“Kalau kita cakap tentang sekolah, kita tak sebut Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil atau Cina tetapi kita sebut semua sekolah, ini bermakna termasuklah untuk sekolah SJK Tamil dan Cina.

“Begitu juga dengan pendidikan percuma, walaupun kita tak sebut OKU secara khusus, tetapi mereka juga akan dapat pendidikan percuma,” kata beliau semalam selepas penutupan Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum ke-13 Malaysia petang tadi.

Manifesto yang dilancarkan di Shah Alam pada 25 Febuari lalu memberikan fokus kepada empat paksi utama; rakyat bersaudara, ekonomi rakyat, kesejahteraan rakyat dan kerajaan rakyat.


Pengarang :