Selangorkini
NASIONAL

Dakwa Ditindas Majikan : 20,000 Ahli NUBE Tawan Jalan Tun Perak

NUBE 01

KUALA LUMPUR, 6 APRIL : Rimas ditindas sejak sekian lama, akhirnya lebih 20,000 ahli Persatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) turun ke jalanan menzahirkan bantahan terhadap pengurusan bank yang melanggar kontrak konservatif di antara majikan dan pekerja.

Kontrak konservatif yang dipersetujui melibatkan kenaikan gaji, bonus dan kelebihan yang diberikan sebagai kakitangan.

Berkumpul di hadapan Dataran Maybank sejak jam 1 petang, Picket Daulat 6413 mula berarak pada jam 2.30 petang dan berkumpul di hadapan Bangunan UAB yang menempatkan premis bank CIMB.

Laungan ‘CIMB Down Down’ dan ‘Lawan Tetap Lawan’ bergema sepanjang Picket Daulat 6413 selain beberapa sepanduk yang mencuri tumpuan orang ramai sehingga mereka turut sama membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Antara kain rentang dan sepanduk yang dipamerkan adalah ‘Adik PM Malaysia Mungkiri Janji’, ‘Maybank Tipu Maybankers’, ‘Ahli tipu dipecat, pengurus tipu naik pangkat’, ‘Pengurus Amiruddin menindas ahli hamil’, ‘Abang sulung janji ditepati, adik bongsu janji dimungkiri’ dan ‘Darah pekerja diperah, belanja golf RM18.7 juta’.

Himpunan ini turut dimeriahkan dengan paluan gendang dan tiupan wisel, Picket Daulat 6413 mengemukakan 10 tuntutan segera yang perlu ditunaikan tiga bank utama iaitu Maybank, CIMB Bank dan Bank Muamalat.

10 tuntutan tersebut adalah:

– Hentikan pencabulan Rukun Negara.

– Hentikan jualan produk secara salah.

– Hentikan penyahkawalseliaan khidmat perbankan.

– Hentikan caj yang melampau terhadap pelanggan.

– Hentikan diskriminasi pelanggan mengikut kaum.

– Hentikan penamatan perkhidmatan pekerja senior.

– Hentikan esploitasi terhadap pekerja.

– Hentikan penganiyaan terhadap pekerja hamil.

– Hentikan mewujudkan pengangguran.

– Hentikan galakan ketaksamaan pendapatan.

Risalah Picket Daulat 6413 memaparkan pendapatan tiga CEO bank utama iaitu CIMB Bank, Maybank dan Bank Muamalat.

CEO Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid mempunyai pendapatan tahunan bernilai RM3.3 juta dan CEO Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dengan perolehi pendapatan tahunan berjumlah RM6.26 juta.

Manakala adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan CEO CIMB Datul Seri Nazir Razak mendapat RM10 juta setahun.

Timbalan Presiden NUBE, Abdul Jamil Jalaludden, dalam ucapannya melahirkan kekesalan terhadap Kementerian Sumber Manusia, yang gagal membantu mereka meskipun pelbagai aduan telah dibuat sebelum ini.

Beliau yang juga Ketua Cawangan Umno Bukit Bendera turut menuntut perkara ini diselesaikan segera dalam memastikan hak ahli NUBE tidak terjejas.

“Kita minta bantuan daripada Kemterian Sumber Manusia mereka tidak mampu (bantu). Banyak aduan dibuat namun tidak diendahkan. Kami rakyat Malaysia.

Kami minta bantuan (Datuk Seri) Najib (Razak) tapi sampai sekarang tidak membantu kami.

“Inilah peruntukan undang-undang yang ada (berdasarkan Perlembagaan) untuk kami bantah.

“Kita mahu duduk bincang tapi sehingga kini mereka tidak mahu berbincang.

“Jangan tindas kami, kami mahu hak kami sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Himpunan yang berlangsung secara aman selain mendapat kerjasama daripada pihak polis ini menyaksikan kehadiran ahli dari pelbagai cawangan bank malah ada diantara mereka datang dari luar Lembah Klang.


Pengarang :