Selangorkini
NASIONAL

Dr Rani ‘Ambil Hati’ Untuk Dekati Pengundi

rani manivanan 01

MERU 30 APRIL: Penyandang dan Calon DUN Meru, Dr Rani Osman yakin pendekatan ‘ambil hati’ yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kali ini mampu membuatkan beliau memenangi kerusi DUN itu lagi.

Katanya, pendekatan selalu turun padang ke semua kawasan tanpa mengenal kaum itu akan membuatkan rakyat berpuas hati dengan tanggungjawab dan kepimpinan beliau sebagai Adun.

“Jika kita mahu menang untuk membela rakyat, kita mesti selalu turun padang. Kita tidak boleh bergantung dengan PAS untuk menang.

“Kita mesti tunjukkan kesungguhan kita untuk bantu rakyat. Jika tidak jangan harap rakyat nak pilih kita,” katanya ketika ditemui di Pasar Cina Jalan Kedah, baru-baru ini.

Beliau menambah, gerak kerja jentera beliau untuk berjumpa rakyat sebenarnya sudah lama dijalankan.

“Gerak kerja kami sudah lama sebelum parlimen bubar lagi. Kita sudah lakukan dari 2008 lagi. rani manivanan 02

“Saya tidak tumpukan untuk pergi rumah ke rumah memberi ‘gula-gula’, sebaliknya saya turun untuk bantu rakyat dari segi kesihatan, dengar masalah mereka, ziarah mereka sakit,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rani turut berpuas hati dengan sokongan kaum Cina terhadap beliau meningkat jika dibandingkan dengan pilihanraya 2008.

“Satu suasana yang tidak pernah saya lihat pada kempen 2008, yang mana orang cina memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR).

“Mana-mana tempat kita pergi, mereka lahirkan sokongan penuh kepada kita. Dulu susah untuk kumpulkan mereka bagi mendengar ceramah, kali ini mereka tunggu sampai habis,” katanya.

Dalam lawatan kerja Dr Rani ke pasar-pasar Cina di dun itu, rata-rata peniaga dan pengunjung mengenali beliau dan menyatakan sokongan penuh kepadanya. Beliau ditemani calon Pakatan kerusi Parlimen Kapar G Manivanan Govindasamy.

Malah, difahamkan sesetengah peniaga di pasar-pasar itu dikatakan menolak risalah-risalah yang diberikan calon Umno-BN.


Pengarang :