Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

JPM Belanja RM 36.1 Juta Untuk Kos Iklan

william-leong-3

SHAH ALAM, 9 APRIL: Bendahari Agung PKR, William Leong mengecam Jabatan Perdana Menteri (JPM) apabila sewenang-wenangnya membelanjakan sehingga RM36.1 juta bagi kos pengiklanan untuk meningkatkan imej pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di mata rakyat.

Menurut William dalam satu kenyataan medianya hari ini, jumlah tersebut diperolehi daripada laporan Maybank bertarikh 19 Mac lalu.

“JPM membelanjakan sebanyak RM36.1 juta ke dalam media arus perdana, terutamanya kempen pengiklanan di stesen radio dan televisyen,” kata William yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Selayang itu.

Menurut William lagi, tindakan itu diambil bagi menutup ketidakcekapan pengurusan wang rakyat, penyelewengan sepanjang 50 tahun mentadbir negara dan mewujudkan perasaan kemakmuran walaupun realitinya negara berhadapan cabaran genting terutama dalam isu keselamatan.

“Di samping itu, sebelum kempen PRU-13 dimulakan, BN sudah membelanjakan sebanyak RM4.9 juta pada Februari 2013 bagi tujuan menyebarkan propaganda melalui media.

“Lantas, kita boleh melihat di bawah hegemoni BN, Pakatan Rakyat (PR) tidak diberikan sebarang peluang untuk muncul dalam media arus perdana seperti televisyen atau radio seperti TV3 dan RTM tanpa sekatan atau syarat-syarat,” kata William.

Menurut William keadaan ini membuktikan kerajaan BN masih menyokong sistem pilihan raya yang tidak adil.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan sejak di bawah penguasaan Najib dikatakan paling besar berbelanja demi meningkatkan imej pentadbiran beliau di mata rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa.

Selain untuk meningkatkan imej Najib dan BN, ia juga digunakan untuk memerangi musuh politiknya dengan mengadakan propaganda Anti Anwar di peringkat antarabangsa.

Antaranya, kerajaan membayar sehingga RM 77 juta setahun kepada perunding asing seperti APCO semata-mata untuk menaikkan imej Perdana  Menteri.

Selain itu, kerajaan di bawah Najib juga didapati mengupah Pengarah Trevino Strategies and Media Inc, Trevino dengan bayaran RM1.2 juta dan 10 penulis lain yang sesetengahnya darinya dikenali sebagai pro-Israel.

Kerajaan Malaysia turut dilaporkan mengupah perunding asing, FBC Media yang terlibat dalam kempen menyokong serangan tentera Israel terhadap konvoi misi bantuan Mavi Marmara ke Gaza Mei 2011 dengan bayaran 19.6 juta Euro (RM94 juta).


Pengarang :