NASIONAL SELANGOR

Kerajaan PR Selangor Komited Laksana Fungsi Kerajaan Sementara

MB pc PKR hq 01

SHAH ALAM, 12 APRIL : Kerajaan Negeri berharap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menentukan kesahihan fakta dan undang-undang dengan terperinci sebelum membuat sebarang tuduhan berhubung fungsi Kerajaan Sementara Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat (PR) komited memastikan birokrasi berfungsi tetapi sentiasa berhati-hati untuk tidak menyalahgunakan dana awam bagi tujuan kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13).

Ujarnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 Febuari 2012 meluluskan garis panduan yang disediakan Penasihat Undang-undang Kerajaan Selangor berhubung fungsi dan had kuasa sebuah kerajaan sementara.

“Garis panduan berkenaan disedia berasaskan Perlembagaan Negeri Selangor (Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959) yang antara lain menyatakan kerajaan sementara terdiri daripada Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO),” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya.

Jelas Abdul Khalid, Perlembagaan Negeri Selangor menyatakan bahawa kerajaan sementara wujud bermula selepas Dewan Negeri Selangor (DNS) dibubarkan sehingga persidangan pertama Ahli Dewan Negeri yang baru dilantik.

Kerajaan sementara mesti mengelak daripada membuat polisi baharu, meminda polisi sedia ada atau mengadakan kontrak dan perjanjian baharu.

“Oleh itu, kerajaan sementara bebas meneruskan polisi, program serta melaksanakan keputusan yang telah dibuat dalam sidang Dewan Negeri Selangor dan mesyuarat MMKN sebelum Dewan Negeri dibubarkan,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata, berhubung penggunaan kenderaan rasmi, Penasihat Undang-undang Negeri menyatakan bahawa ahli-ahli kerajaan sementara boleh menggunakan apa-apa harta, peralatan atau jentera kerajaan dalam tugasan harian rasmi dan tujuan awam.

Walau bagaimanapun, harta, peralatan atau jentera Kerajaan tersebut tidak boleh digunakan bagi tujuan politik.

Ujar Abdul Khalid, mengenani pemberian bonus RM300 kepada kakitangan kerajaan negeri, pemberian bonus ini diputuskan dalam Mesyuarat MMKN pada 3 April 2013 iaitu tarikh sama kerajaan negeri meluluskan geran untuk polisi komuniti.

“Sementara Pemberian Geran Tanah kepada penduduk di Bestari Jaya merupakan sebahagian daripada program pemilikan rumah yang dilancarkan pada 2010.

“Ianya pada tahun yang sama, kerajaan negeri memberi kelonggaran pemilik tanah yang tidak mampu membayar premium minima RM1,000 boleh mendapatkan bantuan daripada kerajaan dengan melakukan kerja-kerja kebajikan sebagai pertukaran,” kata beliau.

Ujarnya lagi, Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri memaklumkan kepada beliau bahawa Kerajaan Sementara hanya mengimplementasikan sahaja keputusan yang telah dibuat.

Ia demi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat Negeri Selangor tidak terjejas dan senantiasa terpelihara dalam tempoh Kerajaan Sementara.

Keputusan serta tindakan yang dibuat ini sama sekali bukan untuk meraih undi atau seumpamanya dan tidak bercanggah dengan ‘code of conduct’ Kerajaan Sementara.


Pengarang :