Selangorkini
NASIONAL

Nik Aziz: Kuburkan Umno 5 Mei ini

husam

PUTRAJAYA 27 APRIL : Manusia tidak akan hidup dengan selamat dan tenang di atas muka bumi ini jika menolak Islam sepertimana yang dilakukan Umno, kata Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Ujarnya, Islam tidak seharusnya ditolak lebih-lebih lagi ia diturunkan Allah sebagai panduan bagi membawa rahmat ke atas semua.

“Tetapi bagi Umno, Islam ini diibaratkan ‘lakhnat fil al amin’.

“Inilah kecelakaan yang menimpa pemikiran orang Islam di sebelah sini sebagaimana yang menimpa pemikiran orang Arab di Timur Luar sana,” kata Menteri Besar Kelantan ini.

Beliau berucap demikian di hadapan lebih 10, 000 hadirin yang hadir dalam satu ceramah di sini malam tadi.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit menguburkan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum Ke 13, seterusnya membina empayar pentadbiran baru mengikut acuan sebenar Islam.

“Di Kelantan, bermula daripada awal 90-an kita sudah amalkan Islam secara menyeluruh meliputi aspek sosial, ekonomi, budaya, dan sebagainya.

“Sembahyang, tunaikan haji, ikut cara Nabi tetapi kenapa dalam soal pentadbiran negeri tidak boleh ikut cara Baginda, kenapa ditolak dan ikut cara orang putih.

“Insya Allah pada 5 Mei nanti kita akan menang dan bersama-sama rayakannya pada 6 Mei,” tambah Nik Aziz.

Terdahulu, beliau menerima borang keahlian PAS daripada 100 orang bekas ahli Umno, daripada empat cawangan PAS di Putrajaya.


Pengarang :