Selangorkini
NASIONAL

PAS Selangor Mahu Undi Awal dikira Awal, Dedah Senarai Undi Pos

pc rani 2

SHAH ALAM 8 APRIL : PAS Selangor membuat beberapa cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung senarai daftar undi pos dan pengiraan undi awal, dalam usaha menjamin perjalanan proses pilihanraya yang telus dan bersih.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Othman, berkata cadangan tersebut bagi mengelakkan sebarang kemusykilan di samping membendung sebarang ruang manipulasi di dalam undi-undi tersebut.

“Bagi undi pos, kita cadangkan agar pihak SPR dapat memberikan senarai daftar pengundi pos pada hari penamaan calon. Berapa ramai dan di kawasan DUN mana bagi membolehkan calon dan parti tahu perkara ini.

“Ini pastinya dapat mengelakkan sebarang perubahan atau keraguan berbangkit apabila keputusan kiraan undi dilakukan kelak,” jelas Rani.

Selain itu, PAS Selangor turut mencadangkan kiraan undi bagi undi awal di kalangan anggota tentera dan polis yang julung kali diperkenalkan dilakukan sebaik sahaja selesai pengundian.

Undi awal diperkenalkan hasil cadangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya pada tahun lalu.

Menurut garis panduan sedia ada, undi tersebut perlu dilakukan dua atau tiga hari lebih awal sementara kotak undi yang digunakan untuk menyimpan undi hanya akan dibuka pada petang hari mengundi seluruh negara.

Timbalan Pesuruhajaya PAS Selangor, Khalid Samad menambah, adalah lebih baik kiraan undi dijalankan awal iaitu pada hari yang sama, bagi mengelakkan sebarang keraguan terhadap kredibiliti SPR yang semakin tercalar.

“Sehingga kini, tindak tanduk SPR menunjukkan mereka tiada kesungguhan dan tidak telus dalam proses pendaftaran dan perjalanan PRU.

“Jadi, SPR perlu jaga, jika tidak ia boleh jadi penyebab kepada kegelisahan orang ramai. Jangan sampai rakyat putus asa dengan SPR,” tegas Khalid.


Pengarang :