Selangorkini
NASIONAL

Pas Tangkap Empat Lelaki Naikkan Banner Fobia Pas, Islam

banner anti Pas pc khalid 01

SHAH ALAM 8 APRIL : Empat lelaki ditahan sekumpulan penyokong PAS dalam satu kejadian di Semenyih pada petang semalam ketika sedang memasang kain rentang yang bersifat provokasi dan menanam ketakutan terhadap Islam dan Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Othman mendedahkan keempat-empat lelaki yang dianggarkan berusia sekitar 20 hingga 30-an itu menggunakan kenderaan Perodua Myvi yang ditampal pelekat logo 1Malaysia.

Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Semenyih di mana laporan polis dibuat PAS untuk siasatan lanjut.

“Ini adalah salah satu contoh yang kita dapat tangkap, tetapi hakikatnya perbuatan ini (memasang kain rentang anti-Pas) semakin rancak dilakukan di sekitar kawasan lain seperti Shah Alam, Meru, Subang dan sebagainya.

“Jika dilihat, niat kain rentang ini ternyata berunsur fitnah dengan tujuan menimbulkan sentimen sensitif dan dibuat seolah ianya dikeluarkan pihak PAS atau DAP,” jelasnya sambil menunjukkan antara contoh kain rentang yang berjaya diturunkan penyokong PAS.

Kain rentang tersebut yang ditulis di dalam Bahasa Cina antaranya menyebut bahawa setiap undi untuk Pas adalah undi untuk negara Islam dan perlaksanaan hukum hudud.

Timbalan Pesuruhjayanya, Khalid Samad tanpa ragu berkata perbuatan tidak sihat ini merupakan salah satu usaha terdesak Umno-BN untuk menawan kembali Selangor.

“Kalau dilihat ayat-ayat seperti Biro Penerangan PAS Pusat yang dinyatakan dalam ‘banner’ pun tidak betul kerana PAS tidak guna ‘biro’, kita guna ‘lajnah’. Umno saja yang guna biro.

“Persoalan lagi satu ialah siapa yang membiayai penyediaan banner ini yang pastinya memakan belanja yang tinggi,” tegas Khalid.


Pengarang :