Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Penyampaian Maklumat Kepada Masyarakat Melayu Fokus Utama Calon Lembah Jaya

khasim kempen lembah jaya 01

AMPANG, 25 APR: Kekangan penerimaan maklumat masyarakat Melayu di Dun Lembah Jaya berhubung dasar dan kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menjadi fokus utama sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Komuniti tersebut dikatakan ‘lebih selesa’ menerima perkhabaran maklumat melalui media tradisional pro-Umno seperti suratkhabar harian berbanding media baru seperti laman web.

Justeru, penyandang Dun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan jentera parti menggiatkan kempen penjelasan maklumat melalui penyebaran risalah berhubung polisi yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat sejak lima tahun lalu.

“Sambutan masyarakat kali ini jauh lebih baik dari tahun 2008 sebab yang pertama kita sudah menjadi kerajaan. Orang kenal kita dan tahu apa yang kita buat.

“Sokongan orang Cina meningkat lebih jauh dan orang India. Cuma orang Melayu 50-50 berdasarkan pemerhatian saya. Kita mempertingkatkan tumpuan kepada orang Melayu di waktu pagi.

“Meskipun pada waktu pagi ramai yang keluar bekerja, kita tinggalkan risalah Manifesto Pakatan Rakyat dan akhbar Selangor Kini,” katanya ketika ditemui pada sesi bertemu pengundi di Pasaraya Aeon Big Taman Bukit Ampang.

Menurutnya penerimaan rakyat setempat semakin baik namun ianya perlu dipertingkatkan sekitanya Dun Lembah Jaya berjaya dipertahankan pada PRU-13

Sepanjang lima tahun beliau menjadi calon Lembah Jaya, cabaran paling besar adalah menjelaskan program kebajikan Kerajaan Pakatan Rakyat memandangkan masih yang belum peka mengenainya.

Dalam pertembungan kali ini, Khasim yang juga penyandang PRU-12 bakal berhadapan dengan calon Umno-BN Baderisham Jolly.


Pengarang :