Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

PKR : Guna Sosma Ganggu Kerancakkan PRU-13

Saifuddin and Sivarasa 01

PETALING JAYA, 11 APRIL : Polis diminta tidak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke 13(PRU13) kali ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Sivarasa Rasiah membidas kenyataan Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Bukit Aman, Datuk Razali Basri yang dipetik sebagai berkata akan menggunakan akta berkenaan bagi mempastikan kelancaran kempen PRU-13.

Katanya, kenyataan Razali itu menunjukkan beliau tidak merujuk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menggunakan Akta Kesalahan Pilihan Raya jika terdapat sebarang permasalahan.

“Rujukan menggunakan SOSMA ketika proses pilihan raya adalah sangat tidak wajar,” katanya dalam sidang media di Ibupejabat PKR di sini hari ini.

Menurut Sivarasa, ancaman polis akan menggunakan SOSMA hanya akan melemahkan dan merencatkan integriti proses pilihan raya di negara ini.

Katanya, kenyataan Razali itu mengesahkan kebimbangan ahli parlimen mengenai kewujudan SOSMA ini yang hanya akan menjejaskan demokrasi berparlimen di negara ini.

“Banyak undang-undang biasa selain SOSMA boleh digunakan, dan perlu diingatkan pihak utama yang bertanggungjawab sepenuhnya adalah SPR, polis hanya membantu kelancarannya,” katanya lagi.

PKR turut mendesak SPR tampil memberi teguran dan kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan timbul sewaktu PRU-13 tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan menghantar sepucuk surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk mengadakan pertemuan segera berhubung kes ancaman terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau telah menghantar surat pada 13 Mac lalu kepada Ismail tetapi tiada jawapan diberikan sehingga kini.

“Isi kandungan surat saya mengandungi permintaan untuk berbincang mengenai hal-hal khusus seperti serangan dan kacau ganggu yang mengakibatkan kecederaan, kemusnahan harta benda parti dan ancaman daripada samseng upahan Umno-BN,” katanya.


Pengarang :