Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Protes Zul Noordin: Naib Pengerusi MIC Dan 104 Ahli MIC Shah Alam Keluar Parti

BN UMNO SUK

SHAH ALAM, 23 APRIL : Naib Pengerusi MIC Shah Alam, C Supayah dan 104 pengikutnya hari ini mengisytiharkan keluar parti apabila tidak berpuas hati dengan pencalonan Zulkefli Noordin sebagai calon BN bagi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut beliau ketika dihubungi TV Selangor tadi, tindakan tersebut turut melumpuhkan MIC Cawangan Seksyen 18 Timur.

“Saya dan 104 ahli MIC isytihar untuk keluar MIC kerana pencalonan Zulkefli Nordin merupakan satu penghinaan kepada penganut agama Hindu.

“Ini disebabkan beliau sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang menghina agama Hindu,” kata Supayah.

Sebelum ini memetik laporan The Malaysian Insider, Supayah memberikan tiga faktor yang menyebabkan beliau mengambil langkah keluar parti.

Selain disebabkan pengumuman Zulkifli dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai calon BN di Shah Alam, tindakan itu juga diambil kerana satu lagi penghinaan terhadap agama Hindu dilakukan oleh Ketua Bahagian Umno Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Mohd Zin dengan memijak kepala lembu pada 2009.

Manakala faktor ketiga disebabkan tindakan calon BN daripada Umno,Datuk Che Johan Che Pa di Pasir Mas yang memberikan laluan kepada Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk mempertahankan kerusi parlimen tersebut.

Petik laporan itu lagi, tindakan Presiden Umno memberikan laluan kepada pemimpin utama Perkasa di dua Parlimen tersebut jelas menggambarkan pendirian Umno yang menyokong pertubuhan yang dianggap sebagai sebuah pertubuhan ekstrimis Melayu.

Sebelum ini, Zulkifli dalam ceramahnya menerusi video yang tersebar di internet hujung bulan lalu, Zulkifli memperlekehkan kesucian agama Hindu dengan menggambarkan penganutnya menyembah tuhan mereka yang hanya diperbuat daripada batu.

Bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu juga berkata, sedangkan kedai yang menjual patung suci agama Hindu pun tidak dapat menghalang banjir dari melanda kedai tersebut.


Pengarang :