Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

PRU-13 Berlangsung 5 Mei, Penamaan Calon 20 April

SPR PC 01

PUTRAJAYA, 10 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diadakan pada 5 Mei 2013 sementara penamaan calon akan diadakan pada 20 April ini.

Tarikh keramat yang dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia ini diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada satu sidang media di Pusat Media SPR, Putrajaya.

Pemilihan tarikh ini dimuktamadkan selepas SPR mengadakan mesyuarat khas pada sebelah pagi memandangkan pembubaran Parlimen telah diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 3 April yang lalu.

“SPR yang terdiri daripada tujuh anggota ahli panel telah mengadakan Mesyuarat Khas dan mengumumkan tarikh-tarikh bagi PRU-13 adalah penamaan calon pada 30 April dan taikh mengundi (jika ada pertandingan) pada 5 Mei 2013,” katanya pada sidang media khas PRU-13.

Tarikh lain yang turut diumumkan adalah tarikh keluar writ pada 11 April 2013 dan tarikh notis pilihan raya 12 April 2013.

Sementara tarikh mengundi awal ditetapkan pada 30 April.

SPR perlu mengadakan suatu pilihan raya umum di dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran menurut Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk PRU-13, sebanyak RM 400 juta diperuntukkan untuk proses penamaan calon, pengundian dan pemantauan kempen manakala seramai 234,905 orang petugas pilihan raya akan dilantik.

Daftar pemilih pilihan raya mengandungi 13,268,002 orang pemilih yang terdiri daripada pemilih biasa (12,992661 orang), tentera dan pasangan (161,251 orang), polis dan pasangan Polis Gerakan Am (PGA) (111,136 orang) serta 2,954 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

SPR turut mengingatkan semua majikan memperuntukkan tempoh munasabah kepada pekerja keluar mengundi berdasarkan peruntukan Subseksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Tiap-tiap majikan hendaklah pada hari pengundian membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi.

“Tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan keatasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu,” katanya lagi.

Secara keseluruhan, hampir semua negeri akan terlibat di peringkat Parlimen dan Dun dalam PRU-13 kecuali Sarawak yang hanya akan mempertandingkan kerusi Parlimen.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun dipertandingkan yang menyaksikan dua kuasa besar politik Malaysia, Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) bakal bertembung bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Pada PRU-12, PR berjaya menafikan majoriti 2/3 kemenangan kerusi Parlimen sekaligus menyaksikan BN membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Lebih mengejutkan, PR berjaya menguasai empat negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sementara mengekalkan kemenangan di Kelantan.

Namun, negeri Perak berjaya dikuasai semula Umno-BN pada Febuari 2009 ekoran empat Adun PR (tiga PKR dan seorang DAP) menginsytiharkan keluar parti dan menyokong BN selepas memerintah hampir 11 bulan.


Pengarang :