NASIONAL SELANGOR

Rafizi, Iskandar Yakin Manifesto PR Tarik Sokongan

rafizi pandan penyokong

PANDAN INDAH, 20 APR : Calon Pakatan Rakyat di kawasan Pandan akan menumpukan kempen terhadap penerangan manifesto gagasan tersebut yang telah dilancarkan sebelum ini sebagai usaha mengambil hati pengundi.

Calon kerusi Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata beliau turut akan memberi tumpuan terhadap masalah jenayah yang membelenggu kawasan itu yang terletak berhampiran ibu kota negara.

Beliau juga yakin akan mendapat sokongan pengundi terhadap dasar-dasar yang ditawarkan oleh PR di dalam manifestonya yang berjudul ?manifesto rakyat?, walaupun berhadapan persaingan yang sengit bagi kerusi Pandan.

“Sekarang mood rakyat adalah membawa perubahan. Pertembungan tiga penjuru ini adalah pertembungan terbuka dan kita akan melakukan yang terbaik,? katanya apabila ditemui di pusat pencalonan Dewan Perbandaran Ampang Jaya.

Parlimen Pandan bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Rafizi, Gary Lim Chin Yee dari BN dan calon bebas Allan Tan.

Allan, yang menggantikan penyandang Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Ting Keat akan menggunakan simbol gajah.

Sementara Dun Chempaka menyaksikan pertembungan satu lawan satu diantara penyandang PRU-12, Iskandar Abdul Samad dan calon Umno-BN Muhammad Faizal Sufar.

Iskandar berkata beliau akan memberikan tumpuan terhadap manifesto PR selain bertanding secara matang.

Beliau berharap kempen kali ini berlangsung sihat tanpa perlu ada serangan peribadi.

“Kita akan memberikan yang terbaik. Kita akan memberikan fokus kepada pencapaian kita sepanjang lima tahun sama ada dari segi pencapaian Kerajaan Negeri dan pencapaian yang kita lakukan di peringkat Dun,” katanya.

Sementara Dun Teratai pula membabitkan persaingan lima calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang melibatkan Tiew Way Keng dari DAP dan calon Gerakan-BN, Liew Pok Boon.

Sementara tiga lagi calon Bebas adalah penyandang PRU-12, Jenice Lee yang akan menggunakan simbol pokok, Pengerusi Penduduk Pandan Perdana, Lim Ah Chai (simbol kunci) dan Timbalan Presiden Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Selangor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (GPBKSWPKL) Chin Kok Keong pula menggunakan lambang bunga.

Semua nama calon bertanding diumumkan Pegawai Pengurus SPR, Abdul Halim Hussain dan tiada calon yang ditolak.

Dianggarkan hampir 2,500 orang penyokong calon bertanding hadir pada proses penamaan calon Abdul Hamid Husin.


Pengarang :