NASIONAL

Rafizi : Manifesto BN Tidak Konkrit, Akui Keberkesanan Manifesto PR

rafizi pc white stripes 01

PETALING JAYA 8 APR: Manifesto Umno-BN bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak ada sasaran khusus yang boleh meyakinkan rakyat berbanding Manifesto Pakatan Rakyat yang jelas mekanisme, tempoh masa dan sasarannya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, sebagai contoh, Umno-BN berjanji untuk menarik pelaburan bernilai RM 1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baru tetapi tidak dinyatakan bagaimana ia mahu dilaksanakan.

Berbanding dengan Manifesto PR yang jelas menumpukan usaha menambah kemahiran pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran untuk mengambil alih satu juta pekerjaan yang kini diusahakan oleh pekerja asing.

“Semakan ke atas keseluruhan Manifesto BN menunjukkan bahawa tidak ada sebarang perubahan dasar ekonomi, politik dan sosial yang akan dilaksanakan untuk mengotakan janji-janji BN,” katanya dalam sidang media di Ibupejabat PKR di sini hari ini.

Rafizi menambah BN bukan sahaja meniru idea PR untuk menurunkan harga kereta tetapi tidak pula menyatakan secara khusus bila ia akan dilaksanakan.

“PR berjanji menghapuskan terus cukai eksais secara berperingkat supaya harga kereta adalah separuh dari harga sekarang dalam tempoh lima tahun.

“Berbanding BN yang hanya akan memotong cukai sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus sahaja secara berperingkat tanpa disebut jangka masanya,” ujarnya lagi.

Rafizi berkata, PR berjanji untuk menghapuskan tol bermula dengan lebuhraya yang sudah mendapat pulangan modal, berbanding dengan BN yang hanya akan menurunkan tol secara berperingkat tanpa disebut jumlah dan tempoh masanya.

Katanya, Manifesto BN adalah kesilapan terbesar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana terpaksa memasukkan dasar yang dijanjikan Pakatan.

“Kalau dulu kamu (BN) kata akan membangkrupkan negara, kenapa sekarang kamu (BN) masukkan dalam manifesto. Akhirnya kamu akur terhadap apa yang telah dijanjikan PR lebih awal,” katanya lagi.


Pengarang :