NASIONAL SELANGOR

Rafizi : Soi Lek Patut Pilih Tee Keat Di Pandan

Ceramah kelompok 01

AMPANG, 23 APRIL : Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sepatutnya memilih Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai calon MCA di kerusi Parlimen Pandan.

Ini kerana menurut Calon PKR Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Tee Keat merupakan calon yang baik untuk kawasan ini.

Sebaliknya kata Rafizi, Soi Lek lebih berminat meletakkan kawan baiknya, Garry Lim Chin Yee sebagai wakil BN menentang beliau walhal rakyat Pandan sedia maklum rekod baik Ong Tee Keat sepanjang menjadi wakil rakyat di sini.

Ceramah kelompok 02Katanya, orang baik seperti Tee Keat tidak mendapat tempat di dalam BN sedangkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mahu calon bersih diletakkan bertanding.

“Kalau kita lawan Datuk Seri Ong Tee Keat lebih baik, penduduk Pandan boleh ada pilihan lebih baik.

“Kalau saya menang pun okey, kalau Datuk Seri Ong Tee Keat menang pun baik,” katanya ketika sesi ceramah kelompok di Medan Selera Taman Bukit Teratai.

Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR turut berterima kasih kepada Datuk Ong Tee Keat kerana ‘memahami’ bahawa rakyat di dalam suasana membawa perubahan sekaligus menumbangkan BN.

Beliau turut mengumumkan, jasa dan sumbangan Tee Keat selama ini akan dikenang dan beliau diharapkan dapat memberikan sumbangan kepada Pakatan Rakyat sekiranya membentuk kerajaan di Putrajaya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 kali ini, Rafizi akan berdepan pertembungan tiga penjuru iaitu Garry Lim(BN), seorang lagi calon bebas, Allan Tan Yew Leng.


Pengarang :