Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Rakyat Jangan Panik, Polis Dan ATM Siap Sedia Laksana Peralihan Kuasa

Rakyat Jangan Panik, Polis Dan ATM Siap Sedia Laksana Peralihan  01

KUALA LUMPUR, 16 APRIL : Rakyat dinasihatkan supaya tidak panik dengan pelbagai dakwaan akan berlaku huru-hara jika peralihan kuasa berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13).

Ini kerana pasukan keselamatan bertanggungjawab sepenuhnya memastikan peralihan kuasa secara aman berlaku jika PRU-13 kali ini dimenangi Pakatan Rakyat.

Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, apabila keputusan pilihan raya diumumkan polis perlu menjaga kemananan dalam tempoh itu.

Disamping itu, beliau berkata pemimpin di pihak kerajaan tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang komen yang menakut-nakutkan rakyat dengan pelbagai dakwaan akan berlaku huru-hara supaya rakyat akan merasa tenteram.

“Perdana Menteri, Najib Razak sendiri memberikan jaminan akan berlaku peralihan kuasa secara aman. Kita menasihatkan bahawa perlunya wujud peralihan secara aman,” kata Musa.

Beliau berkata demikian semasa Forum Untuk Keamanan dan Peralihan Kuasa Secara Aman Pasca PRU-13 yang berlangsung di sebuah hotel ibu negara di sini.

Katanya, polis perlu memastikan dan mempunyai keupayaan perisikan yang mantap jika ada mana-mana kumpulan yang mahu mencetuskan sebarang kekacauan dengan mengambil tindakan lebih awal.

Sementara itu, Mantan Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat (ATM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Abd Ghafir Abd Hamid berkeyakinan bahawa pihak keselamatan sudah mempersiapkan sebarang kemungkinan untuk berhadapan dengan sebarang kekacauan.

“Pasukan Keselamatan boleh mengawal keadaan, Polis dan ATM adalah taat kepada Raja-Raja Melayu dan kedua-dua cabang itu akan terus taat jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” kata beliau yang berpengalaman berkhidmat dalam ATM selama 36 tahun.

Tambah beliau, anggota ATM kini lebih bebas untuk membuat keputusan memilih dalam PRU-13 ini dengan pasukan keselamatan tidak lagi menjadi deposit tetap kepada pihak Umno-BN dalam pengundian awal.

“Orang-orang kampung pun sudah berubah jadi tiada sebab untuk pihak ATM dan Polis juga membuat perubahan,” kata Abdul Ghafir.

Tambah Abdul Ghafir rakyat tidak perlu gusar dengan momokan bahawa dakwaan parti DAP adalah agen kepada pihak Singapura.

“Ia kerana statistik menunjukkan sejak DAP memerintah Pulau Pinang tidak ada yang wujud elemen campurtangan Singapura,” katanya.

Jelasnya, apa yang berlaku di Johor ialah banyak tanah-tanah yang menjadi milik pihak di Singapura dengan pelbagai projek ekonomi tatakala negeri itu berada di bawah pentadbiran Umno-BN.

Forum itu dimoderatorkan oleh Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Mazlee Malik.


Pengarang :