NASIONAL SELANGOR

Ronnie Liu Kepada Calon Bebas : Ikuti Teladan Saya

Ronnie liu 22 April 01

KLANG, 22 APR : Anggota parti yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) kali ini harus mengenepikan perasaan kecewa mereka, seterusnya memberi sokongan penuh terhadap perjuangan Pakatan Rakyat.

Bekas Exco Selangor, Ronnie Liu berkata seperti dirinya, mereka seharusnya redha dengan keputusan pucuk pimpinan parti masing-masing dan terus memberi sokongan tidak berbelah bagi mempertahankan Selangor dan menawan Putrajaya.

“Saya faham perasaan kecewa itu kerana saya juga tidak menjadi calon namun pada ketika ini, apa yang penting adalah perjuangan kita selama berpuluh tahun ini tidak disia-siakan hanya kerana perasaan individu.

“Sebarang ketidakpuasan hati itu boleh dibawa berbincang selepas PRU nanti, tetapi sekarang saya menyeru agar semua dapat memberi tumpuan untuk mencapai impian rakyat iaitu singkirkan kerajaan korup Barisan Nasional,” tegas beliau.

Walaupun tidak dicalonkan, Ronnie masih aktif membantu jentera Pakatan Rakyat di siri ceramah seluruh Selangor dan kempen calon DAP bagi kerusi Parlimen Gelang Patah di Johor, Lim Kit Siang.

Pada tahun 2008, Ronnie daripada DAP menang dengan majoriti
5,398 undi mengalahkan penyandang DUN Pandamaran N47 ketika itu, Datuk Teh Kim Poo (BN).

Ronnie turut menasihati anggota DAP yang menjadi calon bebas, seperti Jenice Lee di DUN Teratai untuk undur diri dan membantu parti mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU12 lalu.

“Saya seru beliau dan juga ahli lain yang jadi (calon) bebas untuk tarik diri dan bergerak membantu jentera parti demi rakyat.

“Ini kerana jika mereka berkeras, kemungkinan besar ia akan mengganggu peluang kita untuk menang seterusnya membantutkan usaha kita menawan Putrajaya,” jelas Ronnie yang ditemui dalam satu ceramah di Kampung Nelayan di sini malam tadi.

Jenice Lee mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas mempertahankan kerusi DUN Teratai N22 setelah DAP meletakkan calon DAP lain di situ.

Turut mengambil keputusan serupa ialah anggota DAP di Melaka, Sim Tong Him yang bertanding bebas mempertahankan kerusi Parlimen Kota Melaka.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam reaksinya semalam terhadap perkembangan tersebut meminta anggotanya yang bertanding bebas untuk undur diri atau berdepan tindakan dipecat.


Pengarang :